SHAH ALAM - Tindakan PN menolak draf MoU mengenai peruntukan wakil rakyat mungkin mengakibatkan lebih ramai ahli Parlimen pembangkang terutama daripada Bersatu akan mengalihkan sokongan kepada gabungan Kerajaan Perpaduan.
Penganalisis politik daripada Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, keputusan PN itu juga membawa pelbagai implikasi penting terhadap dinamik politik Malaysia, baik kepada wakil rakyat pembangkang mahupun pengundi.
Ujarnya, keputusan berkenaan juga menyebabkan ahli Parlimen PN tidak akan mendapat peruntukan pembangunan dan dana operasi pusat khidmat yang sama seperti wakil rakyat daripada parti yang menyokong kerajaan.
Justeru, keadaan itu membuka ruang untuk spekulasi mengenai sama ada terdapat kemungkinan lebih ramai pemimpin PN beralih arah sokongan kepada Kerajaan Perpaduan pada masa hadapan.
“Walaupun tindakan PN berkenaan dikatakan akan memperkukuh pendirian mereka sebagai pembangkang yang tegas, namun beberapa faktor mungkin boleh menyebabkan berlaku peralihan sokongan oleh segelintir wakil rakyatnya.
“Malah, ramai ahli Parlimen PN juga akan mendapat tekanan daripada pengundi akibat kekurangan peruntukan sehingga menyebabkan mereka terpaksa membuat pilihan sama ada terus kekal bersama koalisi sedia ada atau menyokong Kerajaan Perpaduan untuk memastikan mereka boleh terus berkhidmat dengan berkesan.
“Dalam situasi di mana tekanan politik dan ekonomi meningkat, wakil rakyat mungkin melihat penyertaan dalam kerajaan sebagai jalan terbaik untuk mendapatkan sumber demi survival politik dan pembangunan kawasan masing-masing pada masa depan,” katanya kepada Sinar Premium.
Hussain Yusri menjelaskan jika Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terus kukuh dan mampu menawarkan insentif politik yang menarik seperti kedudukan dalam kerajaan atau peluang untuk membentuk dasar, maka ia boleh menjadi faktor yang mendorong sesetengah pemimpin PN mempertimbangkan untuk beralih sokongan.
“Namun, ini juga bergantung pada kestabilan dalaman dalam PN serta kekuatan kepimpinan seperti Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam memastikan ahli-ahli mereka kekal setia dengan agenda pembangkang,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, keputusan PN menolak draf MoU peruntukan daripada kerajaan menunjukkan mereka berusaha mengekalkan identiti sebagai pembangkang yang berprinsip.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar pula melihat, ramai ahli Parlimen PN terutama daripada Bersatu mungkin beralih sokongan kepada Kerajaan Madani kerana mereka kurang berpuas hati dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi gabungan parti pembangkang itu.
Ini kerana, kata Hisommuddin, keputusan berkenaan menyebabkan wakil rakyat PN tidak mempunyai dana mencukupi bagi membiayai program kemasyarakatan dan menguruskan pusat khidmat ahli Parlimen di kawasan masing-masing.
Justeru Hisommudin berpendapat tindakan ini memberi kesan kepada PN untuk menghadapi pelbagai cabaran mendatang kerana tempoh penggal Parlimen ke-15 ini masih panjang sehingga PRU16 nanti.
“Bagaimanapun, dari sudut lain tindakan PN berkenaan adalah sesuatu yang positif kerana membolehkan mereka menjalankan fungsi sebagai badan semak dan imbang di Dewan Rakyat tanpa terikat dengan sebarang syarat ditetapkan oleh Kerajaan Madani.
“Jika PN menerima MoU berkenaan bermakna mereka tidak boleh menjalankan fungsi semak dan imbang dengan sebaik mungkin kerana terikat dengan syarat-syarat tertentu ditetapkan kerajaan pimpinan Anwar,” katanya.