Tidak salah jika kempen ditaja parti, pihak ketiga

SHAH ALAM - Tidak menjadi kesalahan sekiranya perbelanjaan kempen calon melebihi RM350,000 jika ia ditaja oleh parti mahupun pihak ketiga.

Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran berkata, tiada peruntukan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memerlukan bukan calon mengisytiharkan perbelanjaan berkempen terhadap mana-mana calon.

Menurutnya, berdasarkan akta itu, hanya perbelanjaan dibuat oleh calon perlu dikemukakan, tidak termasuk perbelanjaan oleh parti mahupun penaja.

“Dalam undang-undang negara, hanya calon perlu kemuka penyata perbelanjaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh sebulan selepas keputusan pilihan raya diwartakan.

“Jika perbelanjaan babitkan parti atau pihak ketiga, tiada peruntukan yang membolehkan ia dimasukkan sebagai perbelanjaan kempen calon. Maksudnya, tiada kesalahan jika perbelanjaan melebihi RM100,000 tetapi ditanggung pihak lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini Perikatan Nasional (PN) dilaporkan mempersoalkan penggunaan helikopter oleh calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri untuk berkempen kerana sewaannya didakwa mencecah RM350,000 sehari dan melanggar had kos kempen.

Manimaran memaklumkan, peraturan yang termaktub dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyebut had perbelanjaan kempen untuk DUN sebanyak RM100,000 sementara Parlimen RM200,000.

Menurutnya, akta berkenaan tidak memperincikan butiran menyebabkan undang-undang tersebut agak kabur.

“Butiran peruntukan had perbelanjaan itu tidak jelas. Ia hanya melibatkan perbelanjaan calon, bukan pihak yang berkempen untuk calon. Ada kekeliruan mengenai ruang lingkup perbelanjaan dan kosnya,” jelasnya.

**media[2766115]**

Bekas Ahli Tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) itu tegaskan, sudah tiba masanya akta berkenaan dipinda mengikut kesesuaian semasa.

“Daripada mata kasar, mencukupikah untuk calon belanja had RM100,000 dalam 14 hari kempen? Bagi saya mustahil dan tidak mungkin.

“Sudah lebih tiga dekad kita gunakan peruntukan tersebut. Sedangkan dalam tempoh itu, kos sara hidup meningkat. Tidak masuk akal calon hanya belanja RM100,000 sepanjang kempen,” tegasnya.

Manimaran berkata, gesaan ERC agar dilakukan pindaan terhadap akta tersebut sudah dikemukakan kepada dua Perdana Menteri sebelum ini iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, namun tiada tindakan diambil.

“ERC telah cadangkan empat tahun lepas, kita hantar laporan kepada kerajaan. Antara dicadangkan ialah kaji semula had peruntukan perbelanjaan calon dan kos melibatkan pihak ketiga termasuk penaja kempen.

“Teliti pindaan yang kami cadangkan, laksanakan segera bagi mengatasi kelemahan yang ada dalam undang-undang pilihan raya,” ujarnya.

Mengulas sama ada calon yang didakwa melanggar had perbelanjaan boleh dicabar di mahkamah, Manimaran berkata, kelompangan akta berkenaan akan menyukarkan pihak lawan untuk kemukakan bukti.

“Jika ada pihak mahu cabar boleh dilakukan menerusi petisyen selepas pilihan raya namun bagaimana mahu kemukakan bukti jika akta itu longgar.

“Petisyen mungkin sebagai usaha bantah, namun peruntukan undang-undang berkaitan kurang jelas,” tambahnya.