SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan bergantung kepada peratusan keluar mengundi dan sejauh mana isu-isu berkaitan dimainkan sepanjang tempoh kempen.
Penganalisis politik dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, keyakinan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa calon mereka akan menang majoriti tidak kurang 2,000 undi diambil kira berdasarkan rekod kemenangan sebelum ini yang berpihak kepada penyandang.
“Pertama, kita kena lihat bahawa hampir semua PRK, kemenangan berpihak kepada penyandang.
“Kedua, sudah pasti keyakinan Muhammad Sanusi itu adalah berdasarkan kedudukan semasa tetapi bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) merasakan boleh memberikan persaingan berdasarkan kepada kedudukan Tengku Razaleigh Hamzah sendiri sebagai Pengarah PRK DUN Nenggiri.
“Sama ada majoriti itu besar atau tidak, bergantung kepada peratusan yang akan keluar mengundi dan juga melibatkan sejauh mana sepanjang tempoh kempen ini diguna pakai untuk meleraikan isu-isu yang berkaitan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Ahad, Muhammad Sanusi berkata, beliau yakin calon PN yang bertanding PRK DUN Nenggiri menggunakan logo Pas akan menang dengan majoriti tidak kurang 2,000 undi sekali gus mempertahankan kerusi tersebut.
Menurutnya, keyakinan itu berpandukan kepada sokongan rakyat selain gelombang PRK Sungai Bakap, Pulau Pinang yang dilihat semakin subur dalam kalangan pengundi.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Dr G Manimaran berkata, kenyataan Muhammad Sanusi bahawa PN akan menang dengan majoriti 2,000 undi itu disifatkan sebagai andaian terlalu awal.
Ujar beliau, keputusan PRK DUN Sungai Bakap tidak boleh disamakan dengan Nenggiri meskipun majoriti pengundi ialah Melayu-Islam berbanding di Sungkai Bakap yang merupakan kerusi campuran dengan ramai pengundi Melayu.
“Meskipun gelombang sokongan kepada PN masih tinggi, untuk mengatakan Pas-PN akan memperoleh majoriti 2,000 terlalu awal.
“Saya rasa Muhammad Sanusi menggunakan pendekatan psikologi untuk menguasai minda penyokong, sekali gus menang dan mempertahankan kerusi Nenggiri.
“Seperti mana-mana parti, mereka akan mengatakan menang. Di Sungai Bakap, PN dan Pas tidak menggunakan strategi yang ditunjukkan oleh Muhammad Sanusi di Nenggiri,” ujarnya.
Menurut Manimaran, UMNO dijangka menggunakan pendekatan sama diamalkan di PRK DUN Pelangai, Pahang iaitu melalui jentera yang lebih tersusun dan sistematik untuk mencapai kemenangan di Nenggiri.
“Malah bagi UMNO, saingan di Nenggiri sangat penting dalam menjamin kelangsungan perjuangan dan agenda politiknya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saingan akan sengit hingga saat akhir seperti di Kuala Kubu Bharu dan Sungai Bakap,” ujarnya.