‘UMNO tak pernah lupa peranan bawa perjuangan Melayu, Islam’

SHAH ALAM - UMNO menegaskan parti itu tidak pernah lupa peranannya untuk membawa perjuangan Melayu dan Islam seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia ditambah dengan tanggungjawab untuk memainkan peranan penting kepada tertubuhnya kontrak sosial yang mendorong pengikat jati diri bangsa Malaysia merdeka.

Menurutnya, banyak suara sumbang yang bercakap seolah-olah UMNO dalam kerajaan lupa tentang tugas dan tanggungjawab di bawah perlembagaan sebagai satu parti Melayu Islam.

“Saya nak ingatkan kepada anda sebagai mata dan telinga kepada parti bahawa asas kontrak sosial dalam negara kita ialah perlembagaan, kemerdekaan serta hubungan etnik.

“Perjuangan kontrak sosial dalam negara diperjuangkan oleh UMNO pada 1948 dan kalau dilihat dari segi sejarah adalah bermula dengan Malayan Union, Perjanjian Persekutuan 1948 serta Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam tiga perkara ini, kita tak dapat lari tentang peranan yang dimainkan oleh UMNO sebagai penggerak kepada suara Melayu Islam dalam negara. Bukan parti lain tetapi UMNO, parti kita yang bertanggungjawab dan sejarah Persekutuan Melayu Islam,” katanya pada Isnin.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) turut menekankan bahawa Perlembagaan Malaysia adalah pengikat utama dalam penerapan kontrak sosial di negara ini.

Jelasnya, Perlembagaan Persekutuan menyatakan secara terang-terang mengenai peranan yang dimainkan iaitu Perkara 181, Kedaulatan Raja-Raja Melayu; Perkara 3, Islam Agama Persekutuan; Perkara 152, Bahasa Melayu dan Perkara 153, Hak Istimewa orang Melayu.

“Maknanya, perkara ini tak boleh disentuh untuk pindaan. Jadi, saya nak ingatkan diri kita, bolehkah kontrak sosial ini ditarik balik?

Saya nak beritahu bahawa sebenarnya dalam perlembagaan kita, terdapat apa yang disebut pada interpretasi yang disebut sebagai ‘double lock’,” ujar beliau.

Katanya lagi, Majlis Raja-raja (MRR) turut memainkan peranan penting untuk memantau dan memelihara kedaulatan serta isu-isu orang Melayu.

Ujarnya, MRR akan memantau dan memelihara tentang kedaulatan serta isu-isu orang Melayu, jadi disebabkan itu pindaan berkaitan tidak boleh dilakukan.

“Jadi MRR dalam negara ini sebenarnya yang akan memberikan ‘balancing power’ kepada kita sebagai ahli Parlimen.

“Tak akan wujudnya cerita mana-mana pihak cuba mengambil alih hanya kerana mereka ada suara dalam Parlimen tak boleh sebab yang memegang taruh sebenarnya ialah MRR,” tegas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!