BRICS dan konflik Laut China Selatan

MERUNGKAI blok ekonomi alternatif kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), BRICS hakikatnya merupakan organisasi antara kerajaan yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, Argentina, Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada asalnya, organisasi ini ditubuhkan untuk menyerlahkan peluang pelaburan, namun ia terus berkembang menjadi blok geopolitik padu.

Ditubuhkan pada tahun 2009, pengaruh blok ini dilihat semakin meluas selaras dengan perkembangan geopolitik antarabangsa membabitkan persaingan merebut wilayah kedaulatan di Laut China Selatan, perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China, krisis Rusia-Ukraine serta konflik terkini Timur Tengah membabitkan Israel-Palestin.

Jika digabungkan, ahli BRICS merangkumi kira-kira 30 peratus daripada permukaan tanah dunia dan 45 peratus daripada populasi global.

Hal ini kerana Brazil, Rusia, India dan China merupakan antara 10 negara terbesar di dunia mengikut populasi global, kawasan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal dengan purata kuasa beli tinggi.

**media[2698895]**

Sebagai perbandingan, lima negara pengasas BRICS juga merupakan ahli G20 dengan gabungan KDNK nominal antara mereka mampu mengumpulkan nilai sebanyak AS$28 trilion (kira-kira 27 peratus daripada KDNK dunia), jumlah KDNK sekitar AS$57 trilion (33 peratus daripada KDNK global) dan anggaran gabungan rizab asing AS$4.5 trilion pada tahun 2018.

Dianggap sebagai saingan geopolitik terulung kepada blok G7 (gabungan negara ekonomi maju terkemuka), BRICS agresif melaksanakan inisiatif bersaing seperti Bank Pembangunan Baharu, Pengaturan Rizab Kontinjen BRICS, gaji BRICS, Penerbitan Statistik Bersama BRICS dan mata wang rizab BRICS.

Dengan kedudukan strategik, kemampuan pelaburan dan kebolehan ekonomi, maka BRICS berpotensi sebagai institusi yang mampu menggantikan fungsi-fungsi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di peringkat global dan serantau.

Dari sudut pengaruh geopolitik, sebagai blok ekonomi yang lebih besar dari ASEAN, BRICS juga mempunyai kekuatan mengimbangkan AS yang menerajui PBB dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta turut bersekutu dengan Kesatuan Eropah (EU).

Berikutan itu, tidak hairan hasrat Malaysia untuk menghantar permohonan keanggotaan BRICS mungkin menerima penafsiran berbeza oleh pelbagai pihak daripada beberapa sudut strategik.

Bagi Pakar Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan, hasrat Malaysia menyertai BRICS sememangnya tertumpu sepenuhnya atas faktor strategi geopolitik.

Meskipun keanggotaan BRICS mampu memacu ekonomi Malaysia ke arah lebih baik, Azmi berpendapat, penyertaan blok itu mampu meningkatkan pengaruh negara dalam menyuarakan sesuatu isu sekiranya sesuatu dasar luar tidak menguntungkan Malaysia.

"Apabila Tabungan Kewangan Dunia (IMF), Bank Dunia dan G7 yang dikenali sebagai instrumen pembuat dasar antarabangsa dikuasai blok Barat membuat sesuatu ketetapan berdasarkan dasar ekonomi semasa, ia akan terkait seluruh dunia.

"Jadi Malaysia sebagai negara kecil sukar untuk bersuara mempersoalkan kerelevanan dasar itu sekiranya ia tidak menguntungkan kita. Kita tiada suara dalam mana-mana badan pembuat dasar antarabangsa.

"Justeru, BRICS boleh menjadi platform kepada Malaysia untuk aktif memberi pandangan dan pendapat terhadap ketetapan sesuatu dasar luar diputuskan mana-mana blok ekonomi lain. BRICS mampu berfungsi sebagai pengimbang pengaruh badan pembuat dasar antarabangsa sedia ada," katanya kepada Sinar Premium.

Dari sudut geopolitik, Azmi turut berpandangan penyertaan BRICS tidak akan memberi kesan besar terhadap usaha Malaysia dalam mengimbangi ketegangan 'perang' perebutan kedaulatan wilayah di Laut China Selatan antara AS dan China.

Jelas beliau, BRICS merupakan sebuah blok pakatan ekonomi yang longgar dengan beberapa negara menyertai pakatan itu hakikatnya masih mempunyai hubungan baik dengan blok Barat seperti UAE dan Arab Saudi.

"Ia tidak beri kesan secara langsung terhadap pertikaian Laut China Selatan membabitkan empat negara ASEAN (Persatuan Negara-negara Asia Tenggara) termasuk Malaysia, China, Taiwan dan penubuhan AUKUS (pakatan strategik AS, Britain dan Australia).

"Walaupun kehadiran AUKUS merumitkan lagi keadaan, akan tetapi pembabitan mereka mengimbangi pengaruh China.

"Oleh itu, keputusan Malaysia untuk menyertai BRICS dijangka tidak akan merumitkan lagi komplikasi perebutan kuasa kedaulatan wilayah di Laut China Selatan. Kalau kaitan dengan pengaruh China, kita masih menanganinya dengan baik melalui kaedah diplomasi, walaupun belum lagi menyertai BRICS," katanya.

KESAN DOMINO

Bagaimanapun, pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Salawati Mat Basir mengingatkan Kerajaan Madani untuk melaksanakan kajian impak penyertaan BRICS secara menyeluruh, terutama dari sudut kesan domino terhadap konflik perebutan wilayah kedaulatan di Laut China Selatan.

Jelasnya, meskipun penubuhan BRICS berasaskan objektif mewujudkan blok ekonomi alternatif, namun ia masih terikat kepada faktor dinamik geopolitik dunia.

"Suka atau tidak, kita kena hadapi realiti bahawa penyertaan BRICS akan mendedahkan negara kepada risiko kemungkinan penerimaan tekanan lebih agresif China dalam usaha mereka memperkukuhkan tuntutan di Laut China Selatan.

"Faktor kedua, kajian terperinci juga perlu menjurus sama ada kita mempunyai keupayaan ekonomi untuk menyaingi negara-negara BRICS lain yang majoriti mereka berhaluan kiri.

"Mereka sudah lama bersedia untuk melaksanakan reformasi dedolarisasi (urusniaga perdagangan tanpa mata wang dolar) secara besar-besaran. Dengan rizab kewangan antarabangsa negara masih terikat dengan mata wang AS dolar, sudah cukup bersediakah kita ke arah itu?" soal Salawati.

Sementara itu, pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berpandangan, Malaysia sememangnya tiada pilihan lain dan perlu menyertai puluhan negara lain yang sedang berusaha menganggotai BRICS.

Ini kerana dalam tempoh kurang lima tahun dari sekarang, beliau mengunjurkan BRICS bakal menjadi satu kuasa mata wang baharu dunia dengan Malaysia akan terlepas peluang melebarkan lagi sayap perdagangan antarabangsa sekiranya teragak-agak.

"Cuma penyertaan kita pastinya memberi tamparan besar kepada AS yang diketahui terbabit dengan perang perdagangan dengan China selain melaksanakan sekatan ekonomi terhadap Rusia dan Iran sebelum ini.

"Dengan rizab antarabangsa Malaysia sejumlah lebih AS$120 bilion (RM565.58 bilion) masih terikat dengan mata wang dolar, sanggupkah kita hendak menukarnya kepada mata wang BRICS tanpa menjangkakan sebarang tindak balas dari AS?

"Jika ini berlaku, saya percaya dalam jangka masa pendek dan panjang, AS akan menggunakan pengaruh geoekonomi mereka untuk mensabotaj secara tidak langsung pasaran eksport negara. Ini sebenarnya sudah dapat dilihat menerusi penarafan rendah indeks Daya Saing Global (WCR) oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) baru-baru ini," katanya.

**media[2698894]**

INFOGRAFIK:

NEGARA ANGGOTA BRICS:

1) BRAZIL

2) RUSIA

3) INDIA

4) CHINA

5) AFRIKA SELATAN

6) MESIR

7) ETHIOPIA

8) IRAN

9) EMIRIAH ARAB BERSATU

10) ARGENTINA

11) ARAB SAUDI

KEANGGOTAAN MALAYSIA DALAM BLOK EKONOMI DAN PERTUBUHAN ANTARABANGSA:

1) Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)

2) Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN)

3) Pertubuhan Negara-Negara Komanwel (Komanwel)

4) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

5) Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)

6) Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAMM)

7) Kumpulan negara-negara membangun (G15 dan G77)

8) Forum Ekonomi Dunia (WEF)

9) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC)

10) Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA)

11) Bank Dunia

12) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)

13) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)

14) Perjanjian Umum mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT)

15) Bank Pembangunan Asia

16) Gabungan ekonomi negara-negara ASEAN bersama Korea Selatan, China, Jepun (ASEAN 3)