SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) dilihat cuba menampilkan imej lebih segar menerusi gabungan calon muda, wanita dan beberapa nama berprofil tinggi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Apa yang lebih menarik kali ini adalah keberanian gabungan itu dengan meletakkan 12 calon wanita atau 21.4 peratus daripada keseluruhan 56 calon yang bertanding.
Bagaimanapun, timbul persoalan apabila PH terpaksa menurunkan dua Ahli Parlimen untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat di DUN Larkin dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar di DUN Senggarang.
Penganalisis politik yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar berkata, langkah itu akan menimbulkan persoalan sama ada PH berdepan kekurangan calon yang mampu memberikan saingan di kedua-dua kawasan tersebut sehingga terpaksa mempertaruhkan wakil rakyat peringkat Parlimen.
Selain itu, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik turut dilihat berada dalam kelompok calon utama PH apabila ditempatkan di DUN Puteri Wangsa yang dianggap sebagai kerusi selamat buat gabungan berkenaan dan bagi Maszlee yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor.
“Kerusi itu mempunyai majoriti pengundi Cina dan sebelum ini dimenangi oleh Amira Aisya Abd Aziz daripada parti Muda, selepas kerusi berkenaan dilepaskan oleh Parti Amanah Negara (Amanah) dalam rundingan pilihan raya lalu.
“Sekiranya sokongan pengundi Cina kekal bersama PH, Puteri Wangsa dilihat menjadi laluan lebih mudah buat Maszlee yang sebelum ini tewas ketika bertanding di DUN Layang-Layang,” katanya kepada Sinar Harian.
Daripada keseluruhan kerusi yang ditandingi PH, DUN Machap dilihat bakal menjadi medan paling penting dalam menguji kekuatan calon gabungan itu.
PH mempertaruhkan calon muda, Nor Hafiz Roslan untuk berdepan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menurut Hisommudin, daya tarikan pertandingan itu bukan terletak pada kekuatan parti semata-mata, sebaliknya kelebihan yang dimiliki Nor Hafiz sebagai calon muda.
“Pertandingan dua anak muda, Onn Hafiz dan Nor Hafiz sangat menarik untuk disaksikan. Jika Nor Hafiz berjaya menumbangkan Onn Hafiz yang hampir pasti mempertahankan kerusi di Machap, beliau boleh dianggap sebagai ‘giant killer’ dalam PRN kali ini.
Penanda aras
“Kemenangan di Machap juga berpotensi menjadi penanda aras kepada kemampuan PH untuk mencabar dan merampas kerusi lain yang menjadi sasaran gabungan tersebut,” jelasnya.
Selain Puteri Wangsa dan Machap, beliau melihat tiga kerusi yang perlu diberikan perhatian ialah Mahkota, Senggarang dan Larkin.
Bagi DUN Mahkota, beliau berpandangan pencalonan Ahmad Zuhan Mohd Zain akan menjadi ujian penting untuk melihat kecenderungan sebenar pengundi.
Kerusi itu sebelum ini dimenangi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil hasil kerjasama Kerajaan Perpaduan, namun kali ini bakal menguji sama ada Mahkota lebih cenderung kepada BN atau PH.
Sementara itu, Senggarang dan Larkin pula menjadi tumpuan kerana kedua-duanya mempertaruhkan Ahli Parlimen. Justeru, tekanan untuk menang di kedua-dua kerusi tersebut lebih tinggi bagi PH.
Strategi calon ‘comel’ di kerusi gelap
Selain kerusi tumpuan, beliau melihat PH mengambil pendekatan berbeza di beberapa kawasan yang dianggap sukar ditembusi.
Di DUN Buloh Kasap, PH mempertaruhkan Rozy Razit manakala Elia Nadira Sabudin diletakkan di DUN Tenang dan Soraya Badaruddin di DUN Sungai Balang, yang mana ketiga-tiga kawasan itu disifatkan sebagai ‘kerusi gelap’ bagi PH.
**media[3560392]**
“Apa yang menarik ialah kesemua kerusi tersebut menampilkan calon wanita muda. Berdasarkan penilaian awal terhadap personaliti calon, mereka mempunyai imej yang menarik dan ‘comel’.
“Ini sekali gus menimbulkan persoalan sama ada pendekatan itu merupakan sebahagian daripada strategi PH untuk menarik perhatian pengundi di kawasan yang sukar ditembusi,” jelasnya.
Sementara itu, penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi turut senada dan melihat DUN Machap merupakan ujian simbolik terhadap prestasi dan populariti Onn Hafiz sebagai Menteri Besar.
Menurutnya, secara realistik, PH bermula sebagai pencabar tetapi saiz majoriti akhir akan diperhatikan.
Sekiranya majoriti BN meningkat, kedudukan Onn Hafiz akan menjadi semakin kukuh namun jika majoritinya merosot besar, ia memberi isyarat terdapat ketidakpuasan yang perlu diberi perhatian.
“Walaupun pencabarnya, Nor Hafiz tidak mempunyai profil nasional setinggi empat nama sebelumnya, beliau perlu berada dalam ‘watchlist’ kerana nilai simbolik kerusi yang ditandinginya.
“Beliau diletakkan di Machap, kerusi yang disandang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Onn Hafiz memenangi Machap pada 2022 dengan majoriti 6,543 undi dan dijangka mempertahankan kerusi tersebut,” jelasnya.
Menurut Awang Azman, bagi Nor Hafiz, kemenangan mungkin amat mencabar, tetapi prestasinya tetap penting.
Sekiranya beliau berjaya mengurangkan majoriti Menteri Besar dengan ketara, PH boleh mendakwa bahawa sokongan terhadap kepimpinan BN tidak sekukuh yang digambarkan.
Sebaliknya, kemenangan besar Onn Hafiz akan mengukuhkan naratif bahawa beliau mempunyai mandat peribadi dan penerimaan kukuh di akar umbi.