Pegawai awam Gred A dilarang sertai politik

SHAH ALAM - Kontroversi pelantikan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Dr Roslan Hussin sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat memberi tamparan hebat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga pemimpin nombor satu parti itu.

Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, ini kerana selaku pemimpin utama parti, Anwar akan menjadi sasaran serangan kerana tidak memantau perkara tersebut sedangkan beliau merupakan individu yang lantang dalam isu salah laku dan tatakelola penjawat awam.

Menurutnya, di bawah Peraturan 21 (I), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, pegawai awam dalam kumpulan pengurusan tertinggi dan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional adalah dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.

“Walaupun kesalahan ini tidak boleh diletakkan 100 peratus kepada Anwar tetapi kesan besarnya saya lihat akan diterima oleh beliau. Sepatutnya pemimpin parti dalam PKR perlu teliti perkara ini terlebih dahulu sebelum membuat pelantikan.

“Bagi pihak yang dilantik juga dia harus bersikap jujur dan sedar bahawa ia satu kesalahan jika terima pelantikan tersebut. Sebagai ketua jabatan, mustahil dia tidak tahu mengenai pekeliling tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pelantikan Roslan sebagai Ahli MPP PKR hingga mencetuskan polemik ketika ini.

Pelantikan Roslan diumumkan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil pada Ahad lalu bersama-sama dengan pertukaran beberapa pengerusi negeri yang diputuskan dalam mesyuarat MPP.Susulan itu, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mempersoalkan pelantikan tersebut kerana hasil semakan di laman web Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati Roslan juga individu sama memegang jawatan Pengarah JPN Negeri Sembilan.

Sementara itu, ditanya mengenai kewajaran pelantikan Roslan, Hussain Yusri yang juga Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa UniSZA berkata, ia bukan sahaja tidak wajar, malah menyalahi pekeliling penjawat awam.

“Surat pekeliling berkenaan jelas melarang penglibatan mana-mana penjawat awam berjawatan Gred A dalam aktiviti politik.

“Pihak berkenaan tidak boleh pilih kasih dalam perkara ini kerana kontroversi yang berlaku jelas melanggar pekeliling ditetapkan dan keadaan ini memberi kesan negatif kepada organisasi,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

@sinarharianonline

Pegawai awam Gred A dilarang sertai politik Muzik: Theatre of Delays - Black Sea - No Drums Version #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #BuletinTikTok #Semasa #Nasional #Politik #Parti #PKR #RoslanHussin #AnwarIbrahim #PenjawatAwam

original sound - Sinar Harian