KKB medan uji kekuatan PN, PH-BN

SHAH ALAM - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) akan membuka tirai hari ini dengan proses penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor sekali gus dijangka menyaksikan pertembungan dua gergasi politik iaitu Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao telah dinamakan sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan manakala pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili PN.

Senarai penuh calon bertanding hanya akan diketahui selepas selesai penamaan calon yang bermula jam 9 pagi Sabtu.

Apa yang paling mencuri tumpuan pada PRK kali ini ialah percaturan PN yang dianggotai Bersatu, Pas, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mempertaruhkan calon Melayu untuk bertanding di kerusi tersebut kerana secara tradisinya ia adalah kawasan wakil rakyat Cina.

DUN KKB adalah kawasan Gerakan ketika mereka masih berada dalam BN sebelum DAP menang di kerusi itu selama tiga penggal sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013.

Bagaimanapun, komposisi kaum berubah di KKB selepas persempadanan baharu pilihan raya pada 2018 yang menyebabkan kawasan berkenaan menjadi dominan Melayu dengan jumlah pengundi Melayu 46 peratus, Cina (30 peratus), India (18 peratus) serta Orang Asli dan lain-lain (lima peratus).

Jumlah majoriti pengundi kaum Melayu itu dipercayai mendorong PN pada Khamis malam membuat kejutan dengan menamakan Khairul Azhari bagi menentang Sock Tao yang merupakan Setiausaha Akhbar Nga Kor Ming.

UNDI MELAYU TERPECAH DUA SAHAJA

Penganalisis politik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, meskipun kedua-dua blok gergasi politik itu berbeza strategi namun peluang kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan dilihat lebih tinggi.

**media[2628971]**

“Sebabnya Kerajaan Madani mengekalkan calon tradisinya kerana kita tahu pengundi Cina solid menyokong PH sedangkan undi Melayu terpecah tiga sebelum ini iaitu PH, BN dan PN dan dalam PRK KKB kali ini ia terbahagi kepada dua iaitu PN dan PH-BN.

“Jadi bagi mendapatkan sokongan kira-kira 46 peratus pengundi Melayu itu saya kira strategi PH mengharapkan setiap parti komponen mereka iaitu PKR, Amanah dan UMNO masing-masing dapat sekurang-kurangnya 10 peratus undi Melayu,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Ujar beliau, dengan formula sedemikian Kerajaan Perpaduan diyakini boleh menang walaupun MCA tidak turun membantu kempen apatah lagi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor ketika ini juga dikuasai oleh PH-BN.

Bagaimanapun, Awang Azman menegaskan, kerajaan tetap tidak boleh berasa cukup selesa kerana terdapat beberapa faktor lain yang perlu dipertimbangkan iaitu faktor ‘lonjakan ayunan’ pengundi muda berumur 18 hingga 35 tahun.

Katanya, peratus pemilih yang keluar mengundi juga akan menentukan kemenangan calon kerana untuk PH-BN menang, peratusan keluar mengundi dianggarkan perlu lebih 55 peratus.

Awang Azman juga yakin persaingan pada PRK ini akan melebihi dua penjuru iaitu akan ada pihak lain seperti calon Bebas akan turut bertanding.

“Pasti akan ada calon lain yang akan turut sama memeriahkan pertarungan merebut kerusi ini kerana masing-masing nak tunjukkan mereka mempunyai sokongan setempat atau ingin tunjukkan keberadaan mereka dalam arus politik di negeri Selangor.

“Namun, mereka ini diramal tidak akan mampu menentang parti-parti besar dan hanya akan memecahkan undi,” katanya.

Pada Jumaat, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) sepakat memutuskan untuk tidak bertanding pada PRK KKB.

PRK KKB diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu daripada DAP, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei sebagai hari mengundi, 7 Mei pula hari mengundi awal dan Sabtu sebagai hari penamaan calon.

PRK KKB adalah PRK ketujuh selepas PRU15 dengan enam daripadanya dilaksanakan tahun lalu iaitu Parlimen Kuala Terengganu (Ogos), Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram (September), DUN Pelangai (Oktober), DUN Jepak (November) dan Parlimen Kemaman (Disember).


PROFIL CALON PH DAN PN

CALON PH

**media[2628974]**

Pang Sock Tao

Umur: 33 tahun

Asal: Ampang, Selangor

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal & Elektronik, Universiti Tenaga Nasional

Pengalaman:

- Pegawai Khas Kepada Menteri di Pejabat Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (2018-2020)

- Penerbit Ubah TV, Ibu Pejabat DAP (2020-2022)

- Pegawai Tugas-Tugas Khas di Pejabat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Disember 2022-Januari 2024)

- Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Januari 2024-kini)

CALON PN

**media[2628972]**

Khairul Azhari Saut

Umur: 54 tahun

Asal: Felda Sungai Tengi, Kuala Kubu Baharu, Selangor

Pendidikan: Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan, Universiti Malaysia Pahang

Pengalaman:

- Pengurus Besar Global Valley Venture Sdn Bhd (kini)

- Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor (2023-kini)

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!