PRK KKB: Steven Sim nafi PKR kurang turun berkempen

HULU SELANGOR - Dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kurang turun berkempen untuk calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu tidak benar.

Penyelaras Kempen Pakatan Harapan (PH) Steven Sim Chee Keong berkata, ini kerana jentera parti itu sentiasa bersama sepanjang tempoh berkempen.

"Saya difahamkan di sebelah sana yang berpecah-pecah. Sebelah Perikatan Nasional (PN) kononnya Pas boikot dua atau tiga kumpulan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Tapi di bawah Kerajaan Perpaduan saya nampak jentera parti-parti turun untuk kempen menangkan calon perpaduan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama penduduk Ampang Pecah, di Kuala Kubu Bharu, di sini pada malam Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan PKR kurang menyertai kempen pada PRK kali ini.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan PH mempertaruhkan calon muda, Pang Sock Tao.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor Ogos tahun lalu, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan majoriti 4,119 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April lalu sehingga jam 11.59 malam, 10 Mei.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!