PRK KKB: Calon PH guna rakaman video tarik pengundi luar pulang

HULU SELANGOR - Strategi kempen Pakatan Harapan (PH) kini turut tertumpu kepada media sosial sebagai usaha untuk menarik pengundi luar pulang menunaikan tanggungjawab pada Sabtu ini.

Calon PH, Pang Sock Tao berkata, terbaharu pihaknya merakam video pelbagai bahasa supaya dapat menggalakkan lebih ramai anak perantau pulang ke Kuala Kubu Baharu.

"Salah satu strategi yang boleh dikongsikan adalah saya telah merakam video untuk meminta pengundi luar Kuala Kubu Baharu balik kampung.

"Rakaman video dalam pelbagai bahasa itu telah kita sebarkan di media sosial sebagai langkah untuk pastikan merek pulang nanti," katanya ketika ditemui ketika berkempen di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha yang dilakukan bagi menarik pengundi luar pulang pada 11 Mei nanti.

Peratusan keluar mengundi bagi pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang berlangsung pada Selasa mencapai 97 peratus.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan memaklumkan, peratusan itu melibatkan 769 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis dan tentera serta pasangan.

PRK DUN Kuala Kubu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April lalu sehingga jam 11.59 malam, 10 Mei.

DUN Kuala Kubu Baharu memiliki 40,226 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!