PRK KKB: Calon PH pertingkat kempen, nafi PKR tak bantu

HULU SELANGOR - Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao melipatgandakan kempennya dalam usaha meraih seberapa banyak undi dengan kempen kini berbaki dua hari sebelum hari pengundian Sabtu ini.

Sock Tao, 31, yang mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) berkata beliau akan terus berkerja keras dan tidak mengambil mudah amanah yang diberikan pucuk pimpinan bagi mempertahankan kawasan DUN berkenaan.

"Saya mempertingkatkan lagi aktiviti kempen dan akan bertemu seramai boleh pengundi di KKB bagi meningkatkan peluang kemenangan,” katanya ketika ditemui pada program Kopitiam Talk di sini hari ini.

Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut menyeru pengundi keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK berkenaan.

"Undi anda akan menentukan arah pembangunan KKB pada masa akan datang. Jadi adalah tanggungjawab pengundi dan orang KKB untuk memastikan pembangunan dan kesejahteraan terus terjamin di bawah Kerajaan Perpaduan," katanya.

Sementara itu, beliau menafikan kempennya tidak mendapat bantuan daripada PKR seperti yang didakwa sesetengah pihak sebaliknya kepimpinan parti itu di peringkat negeri atau Pusat sentiasa turun padang membantunya berkempen.

"Ini satu dakwaan yang tidak benar. (Pengerusi PH Selangor yang juga Menteri Besar) Datuk Seri Amirudin Shari telah turun untuk bantu kempen...semalam saya juga menyertai satu forum yang dianjur PKR di mana Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar turut hadir,” katanya.

PRK itu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!