Tiga faktor penentu kemenangan

FAKTOR kaum bukanlah satu-satunya penentu kemenangan calon pada PRK Kuala Kubu Baharu sebaliknya turut dipengaruhi oleh tiga penyumbang besar lain.

Faktor lain itu termasuk strategi parti, kredibiliti calon, dan penekanan isu-isu tempatan yang relevan.

Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu sebelum ini adalah daripada kalangan kaum Cina, kejayaannya memenangi kawasan itu adalah disebabkan oleh strategi yang bijak dan sokongan kukuh daripada pelbagai lapisan masyarakat.

**media[2628976]**

“DAP mungkin telah berjaya menarik sokongan daripada Melayu dan etnik lain dalam kawasan tersebut dengan menekankan isu-isu yang relevan dengan keperluan mereka.

“Isu-isu tempatan seperti pembangunan ekonomi, keselamatan, pendidikan, dan kemudahan asas akan menjadi tumpuan dalam pilihan raya ini. Parti yang dapat mengenal pasti dan menangani masalah ini dengan berkesan mungkin akan mendapat sokongan kuat daripada pengundi,” katanya.

Selain itu, Hussain Yusri percaya kredibiliti dan integriti calon juga memainkan peranan penting untuk mengikat hati pengundi.

“Sekiranya calon DAP atau mana-mana parti politik lain dianggap mempunyai reputasi yang baik dan dihormati oleh penduduk tempatan daripada pelbagai kaum, mereka lebih berpeluang untuk mendapat sokongan.

“Kredibiliti calon juga memainkan peranan penting dalam menarik sokongan pengundi. Calon yang dipercayai dan dihormati oleh penduduk tempatan akan lebih mudah mendapat sokongan,” ujarnya.

Tambahnya, strategi kempen yang bijak dan efektif serta pengaruh dan personaliti ketua parti turut mempengaruhi sokongan pengundi dalam politik tempatan.

“Antaranya, pengumuman awal calon seperti yang dibuat oleh Gerakan boleh menjadi strategi untuk mengelakkan spekulasi yang tidak diingini daripada pihak media dan parti politik pesaing.

“Dengan mengambil kira faktor-faktor ini, PRK Kuala Kubu Baharu kali ini dijangka menjadi pertandingan yang sengit dan menarik antara parti-parti yang bertanding,” jelasnya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya daripada DAP, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Kee Hiong, 58, menjadi ADUN Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak tahun 2013.

Hussain Yusri menjangkakan PRK Kuala Kubu Baharu menjanjikan satu perdebatan politik yang dinamik dan penting kerana melibatkan penyertaan beberapa parti politik utama termasuk DAP, Gerakan, PN dan calon Bebas.

“Dengan gelombang perubahan politik yang berlaku di seluruh negara, ramai yang menunggu untuk melihat sama ada dinamik politik tempatan akan mengalami perubahan atau tidak.

“Sejarah politik tempatan dan prestasi parti-parti dalam pilihan raya sebelumnya boleh memberikan petunjuk tentang kecenderungan sokongan pengundi.

“Jika terdapat kecenderungan untuk menyokong parti tertentu, parti tersebut mungkin mempunyai kelebihan awal.

“Bagaimanapun, perubahan politik yang dinamik dan faktor-faktor tempatan boleh mempengaruhi arah sokongan pengundi.

“Dalam suasana yang penuh dengan spekulasi dan keghairahan, tidak dapat dipastikan parti mana yang akan mendominasi PRK kali ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!