Pas kesal tindakan Kor Ming lulus dana PRK Kuala Kubu Baharu

SHAH ALAM - Pimpinan tertinggi DAP digesa mengambil tindakan tatatertib terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang menggunakan kedudukan beliau meluluskan dana demi kepentingan politik pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Pesuruhjaya PasSelangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, tindakan itu secara jelas mencabuli prinsip demokrasi dalam negara dan merupakan satu keaiban besar buat Malaysia di mata dunia.

Menurutnya, Pas kesal dengan tindakan Kor Ming meluluskan dana yang datang daripada hasil cukai rakyat demi kepentingan parti politik disertai beliau.

"Pas Selangor menggesa pucuk pimpinan tertinggi DAP mengambil tindakan terhadap Kor Ming yang sangat tidak demokratik dan bertentangan dengan prinsip, imej dan nama DAP," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ab Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras memberitahu, pimpinan Pakatan Harapan (PH) juga didesak tidak berdiam diri ketika demokrasi dalam negara ini 'dinodai' secara terang-terangan.

"Jangan kita jadi seperti negara-negara besar dunia yang memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan sosial, namun membutakan mata dan memekakkan telinga ketika hak asasi dan keadilan sosial rakyat Palestin dinafikan," jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, Pas Selangor menggesa pimpinan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kembali menginsafi falsafah, dasar perjuangan dan manifesto parti mereka yang berjanji akan mengangkat nilai keadilan sosial dan demokrasi dalam negara ini.

"Jangan menjadi musuh dan penentang kepada dasar dan perjuangan asal parti kalian.

"Pas Selangor mengajak pimpinan Kerajaan Madani mencontohi Ahli Parlimen Kemaman, merangkap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menangguhkan pengumuman perincian Bajet 2024 negeri Terengganu demi memastikan demokrasi dalam negara ini tidak dinodai dan PRK Kemaman dapat dijalankan secara adil dan saksama," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!