Kelulusan RoS bukan penyelesaian mutlak kemelut Bersatu

KEPUTUSAN Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan pindaan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Selasa bukanlah satu penyelesaian mutlak bagi membolehkan parti itu memenangi tuntutan pengosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik tujuh wakil rakyatnya ketika ini.

Sebaliknya, perjalanan Bersatu untuk mendesak pilihan raya kecil (PRK) diadakan di Parlimen Bukit Gantang, Labuan, Gua Musang, Jeli, Tanjong Karang dan Kuala Kangsar serta DUN Selat Klang, Selangor disebabkan kesemua penyandangnya kini berpaling tadah menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hakikatnya masih panjang dan penuh berliku.

Pakar Perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berpandangan, kelulusan pindaan perlembagaan Bersatu oleh RoS bukan bermakna ketujuh-tujuh kerusi pilihan raya parti itu yang disandang tujuh wakil rakyat yang berpaling padah boleh diisytiharkan ‘kosong’ secara automatik.

**media[2601991]**

Jelasnya, Bersatu masih perlu melalui pelbagai proses rumit dan memakan masa melalui budi bicara Speaker Dewan Rakyat dan permohonan tuntutan pengosongan kerusi tujuh wakil rakyat mereka di mahkamah kelak.

“Biarpun Bersatu mendakwa kelulusan RoS itu membolehkan tujuh wakil rakyat berpaling tadah mengosongkan kerusi secara automatik, namun hakikat sebenar punca kuasa untuk berbuat demikian terletak pada budi bicara Speaker Dewan Rakyat dan Yang di-Pertua (YDP) DUN Selangor.

“Bahkan proses awal yang perlu dikemukakan Bersatu selepas ini ialah mereka harus memberi peluang kepada tujuh wakil rakyat berkenaan menyatakan semula pendirian masing-masing sama ada mahu kekal menyokong Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan atau rujuk semula bersama Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada Sinar Premium.

Berikutan itu, Muhammad Fathi menegaskan enam ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu Selangor tidak perlu tergesa-gesa mengosongkan kerusi masing-masing biarpun RoS sudah meluluskan pindaan perlembagaan parti itu.

“Terpulang kepada wakil rakyat Bersatu berkenaan sama ada mahu mengosongkan kerusi masing-masing secepat mungkin atau menunggu sehingga Speaker Dewan Rakyat dan YDP DUN Selangor mengesahkannya.

**media[2601989]**

“Sebenarnya selepas pindaan ini diluluskan Bersatu boleh mengemukakan usul kekosongan terbabit kepada Speaker Dewan Rakyat dan YDP DUN Selangor bahawa tujuh wakil rakyatnya itu sudah hilang kelayakan kerana melanggar perlembagaan parti sekali gus membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan PRK.

“Jika Speaker Dewan Rakyat dan YDP DUN Selangor menolaknya, Bersatu kemudiannya perlu mengemukakan semakan kehakiman bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan muktamad sama ada kerusi Parlimen dan DUN milik tujuh wakil rakyatnya yang berpaling tadah menyokong Kerajaan Perpaduan itu benar-benar kosong atau sebaliknya,” katanya.

Pada 2 Mac lalu, Bersatu meluluskan pindaan perlembagaan yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Keputusan itu dibuat pada Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) parti, selepas enam ahli Parlimen itu mengisytiharkan menyokong Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Enam ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan menyokong Anwar adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 7 Mac lalu, ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari kemudiannya mengumumkan peralihan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Bakal berdepan kesukaran

Sementara itu, peguam Haniff Khatri Abdulla turut bersetuju dengan pandangan usaha Bersatu untuk menuntut kembali tujuh kerusi pilihan raya yang dikhianati wakil rakyatnya masih lagi sukar.

Menurutnya, pindaan perlembagaan baru Bersatu diluluskan RoS berkuat kuasa mulai 1 April lalu hakikatnya tidak akan memberi kesan terhadap takrifan ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan mengenai lompat parti.

“Jadi bukan mudah untuk Bersatu mengatakan kerusi terbabit kosong secara automatik selepas RoS meluluskan pindaan perlembagaan parti berkenaan.

“Selain itu, Bersatu masih lagi terpaksa merujuk isu kekosongan kerusi tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat dan DUN Selangor kerana hanya individu berkenaan sahaja memutuskan perkara berkenaan,” ujarnya.

Haniff Khatri turut berkeyakinan Bersatu berkemungkinan besar terpaksa membawa kes tuntutan pengosongan tujuh kerusi Parlimen dan DUN berkenaan sehingga ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Apabila kes ini berlanjutan ke mahkamah ia bukan hanya mengambil masa dua atau tiga minggu sahaja, sebaliknya mungkin melebihi tempoh dua hingga tiga tahun.

“Sekalipun keputusan mahkamah berkemungkinan berpihak kepada Bersatu, dengan tempoh penggal Parlimen ketika itu mungkin sudah tidak sampai dua tahun, maka ada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan SPR tidak perlu lagi mengadakan PRK jika kekosongan berlaku selepas tempoh penggal pentadbiran melebihi tiga tahun.

“Speaker Dewan Rakyat juga berhak memutuskan tiada keperluan mengadakan PRK jika mendapat sebarang keputusan pilihan raya berkenaan tidak menjejaskan sokongan majoriti terhadap kerajaan semasa,” katanya.

Campur tangan

Dalam pada itu, Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, terdapat kes duluan di mana mahkamah memutuskan hanya Speaker Dewan Rakyat berkuasa menentukan sama ada berlaku atau tidak kekosongan luar jangka kerusi Parlimen susulan tindakan wakil rakyatnya beralih sokongan kepada kerajaan.

Katanya, ini bermakna dalam prinsip pengasingan kuasa, institusi mahkamah tidak boleh campur tangan dalam isu membabitkan bidang kuasa Speaker Parlimen atau YDP DUN.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28