Kuasa ahli Parlimen mesti disatukan pinda Perlembagaan Persekutuan

KUANTAN - Pas Pahang menegaskan bahawa kuasa ahli Parlimen Melayu Islam mesti disatukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Penerangannya, Aireroshairi Roslan berkata, perpecahan ahli Parlimen Melayu Islam hanya akan membuka lebih banyak ruang pencerobohan.

Menurutnya, ini akan membantutkan usaha memperkasakan institusi undang-undang dan mahkamah syariah di Malaysia.

"Semua ahli Parlimen Melayu Islam mesti bersatu hati merentas parti demi memperjuangkan keutuhan undang-undang syariah mengikut lunas undang-undang dan hak-hak yang telah dijamin Perlembagaan Persekutuan," katanya pada Sabtu.

Sebelum itu, beliau menjelaskan pengkhianatan terhadap undang-undang dan mahkamah syariah pada hari ini adalah menggunakan kuasa legislatif ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Jelasnya, isu ini bukan lagi untuk diperselisihkan dalam kalangan ilmuwan, pengamal undang-undang mahupun ahli politik.

"Dalam isu mustahak ini, tidak perlu ada kata dua atau pilihan buat semua ahli Parlimen Melayu Islam," katanya.