'Diserang' penyokong Warisan: Saya hanya senyum, kata Azmin

TUARAN - Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengambil sikap positif selepas beliau 'diserang' beberapa penyokong parti lain dalam satu program di Membakut baru-baru ini.

Menurutnya, beliau tidak mahu menimbulkan sebarang provokasi, malah melayan sikap penyokong parti berkenaan dengan senyuman.

"Pada ketika itu, saya beramah mesra bersama penyokong-penyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) tetapi ada satu pemuda yang cuba membawa sentimen anti Malaya.

"Tetapi saya melayan dan respons mereka dengan senyuman serta tidak mahu menimbulkan provokasi, malah ada dalam kalangan mereka datang memohon maaf kepada saya," katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra dan Rapat Umum Pemimpin Bersama Rakyat di Bilik Gerakan PN Pusat Daerah Mengundi Tambalang Kampung Bolong Baru Tuaran.

Beliau diminta mengulas mengenai video yang tular beliau 'diserang' sekumpulan individu dipercayai di Membakut selepas proses penamaan calon Sabtu lalu.

"Saya menerima baik cuma saya berharap agar (Mohd) Shafie Apdal tidak mengapi-apikan sentimen yang boleh memecahkan perpaduan rakyat Malaysia.

"Ini kerana dalam pilihan raya, ia adalah sebahagian dari demokrasi tetapi kita tidak boleh menggunakan pentas ini dengan membakar isu yang boleh memecahkan hubungan Persekutuan dan juga negeri," katanya.

Berita Popular

Video Popular