Raja Bomoh undur diri

IPOH - Presiden Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia (PSSGGM), Ibrahim Mat Zin, 68 atau lebih dikenali sebagai 'Raja Bomoh Politik' mengambil keputusan untuk mengundur diri dari bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk sebagai calon bebas.

Ibrahim yang mengumumkan keputusan itu melalui laman Facebook 'Raja Bomoh Politik' dalam satu video berdurasi 11 minit itu telah dimuat naik pada 27 April 2018 kira-kira jam 5.43 petang.

Dalam video berkenaan, beliau mengakui memberi laluan kepada dua parti besar iaitu BN dan Pakatan Harapan untuk menjadi pilihan rakyat pada PRU kali ini.

"Kita beri peluang lima tahun lagi kepada mereka. Jika tiada perubahan, kami (PSSGGM) akan bertanding di seluruh negara pada PRU15.

"Saya minta maaf kepada rakyat kerana tidak bertanding pada kali ini. Saya berharap dan berdoa agar kemenangan akan diberikan kepada teraju yang baik untuk masa depan," katanya dalam video berkenaan.

Terdahulu, Ibrahim bersama 26 lagi ahli PSSGGM akan bertanding sebagai calon Bebas di seluruh negara dalam PRU14.

Menurutnya, di Perak dua calon akan bertanding membabitkan dirinya dan timbalannya, Leman Kanaullah, 55, akan bertanding di Dun Pangkor.

Ibrahim Mat ZinBagan Datuk
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :