'Bukan tujuan mansuh serta-merta sistem sedia ada'

SHAH ALAM - Semua pihak diminta tidak membuat sebarang kenyataan melulu berikutan cadangan kerajaan mahu memansuhkan sistem saraan berasaskan pencen bagi penjawat awam, ahli Parlimen dan menteri Kabinet untuk digantikan dengan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, beliau secara peribadi bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk memansuhkan skim pencen berkenaan yang antara lain bertujuan mengurangkan beban fiskal dan hutang negara.

Beliau berkata, tindakan berkenaan perlu kerana kajian mendapati kerajaan dijangka terpaksa membelanjakan dana mencecah RM120 bilion setahun menjelang 2040 jika skim pencen sedia ada tidak ditambah baik dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Azli berkata, ramai di negara ini kurang faham bahawa terdapat dua sistem saraan di Malaysia iaitu skim pencen untuk penjawat awam dan KWSP bagi pekerja swasta.

"Tujuan kerajaan mengkaji semula skim pencen sekarang adalah untuk penambahbaikan dan mengurangkan beban fiskal negara, bukan bertujuan memansuhkan serta-merta sistem sedia ada.

"Malah, biarpun kerajaan menghapuskan skim pencen, namun penjawat awam boleh membuat pilihan pengeluaran caruman KWSP mereka secara bulanan selepas mereka bersara nanti," katanya kepada Sinar Premium.

Tambah Azli, masyarakat tidak perlu risau kerana sistem saraan skim berasaskan KWSP hanya terpakai kepada penjawat awam lantikan baharu, bukan kakitangan kerajaan sedia ada.

Azli berkata demikian mengulas kenyataan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini dilaporkan berkata Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Pendirian itu dibuat kerajaan selepas menilai bahawa menjelang 2040, jumlah pencen yang terpaksa ditanggung kerajaan jika sistem saraan sedia ada tidak dipinda, akan mencecah RM120 bilion setahun.

Bagaimanapun, Cuepacs membantah pemansuhan skim pencen kakitangan awam selepas mereka bersara nanti kerana ia adalah hak mutlak dan sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil memberikan penjelasan bahawa penghapusan skim pencen bukan bertujuan menjejaskan orang Melayu yang majoriti menjadi penjawat awam ketika ini.