Tiada istilah 'tebuk atap' kerana tiada siapa menang PRU15

SHAH ALAM - Kalau berlaku pertukaran kerajaan dalam masa terdekat, pembentukan kerajaan baharu diterajui Perikatan Nasional (PN) itu tidak boleh digelar sebagai kerajaan ‘tebuk atap’ atau ‘tebuk dinding’.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ini kerana Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya tidak pernah mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen melalui koalisi parti tunggal, sebaliknya sekadar dianggap sebagai kerajaan minoriti yang membentuk kerajaan campuran.

Berikutan itu, katanya, sekiranya langkah pertukaran kerajaan menjadi realiti, pembentukan kerajaan baharu kelak wajar dianggap sebagai perubahan biasa yang tidak melanggar titah Yang di-Pertuan Agong.

“Lainlah kerajaan sedia ada dibentuk menerusi sokongan majoriti, mungkin sesuailah alasan mereka perlu diberi lebih ruang dan masa. Kerajaan Perpaduan sedia ada adalah kerajaan minoriti.

“Jadi kalau berlaku perubahan kerajaan kelak, tidak boleh diistilahkan kerajaan itu tebuk atap atau tebuk dinding. Sebaliknya ia proses perubahan kerajaan yang biasa,” katanya kepada Isnin.

Shahidan berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa koalisi pembangkang sudah mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen yang mencukupi untuk mengambil alih pentadbiran negara.

Keputusan PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mendapat 82 kerusi, PN (74), Barisan Nasional (30) dan Gabungan Parti Sarawak (23). Ini berbeza semasa PRU14 pada 2018 apabila PH menang majoriti mudah 113 kerusi.

Mengulas mengenai isu akuan bersumpah (SD) kepada PN yang didakwa Muhammad Sanusi telah mendapat bilangan mencukupi, Shahidan enggan mengulas lanjut dan meminta Sinar Harian mendapat penjelasan daripada Menteri Besar Kedah itu sendiri.

“Usaha peralihan kerajaan hanya boleh direalisasikan atas budi bicara dan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Namun bagi yang kata SD tak relevan, perlu diingatkan dalam Perlembagaan Persekutuan, mana-mana ahli Parlimen yang dibuktikan berjaya mendapat sokongan terbanyak ahli Parlimen, maka individu itu boleh menjadi Perdana Menteri atas pertimbangan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.