SHAH ALAM - Bekas Pengarah Eksekutif Abrar Group International Sdn Bhd, Dr Abdul Rahim Ghouse menafikan beliau ialah individu dikenali sebagai ‘Datuk Rahim’ yang dipercayai menjadi broker Kerajaan Perpaduan bagi memancing sokongan ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Bercakap kepada Sinar Premium, bekas penyokong tegar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu zaman reformasi tahun 1998 itu, terkejut apabila namanya dikaitkan sebagai ejen atau broker kerajaan bagi memujuk ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) beralih sokongan kepada Ahli Parlimen Tambun itu.
Ujarnya, beliau kini sudah tidak lagi terlibat secara aktif dalam politik, tidak memegang sebarang jawatan parti apatah lagi mempunyai hubungan langsung dengan Pejabat Perdana Menteri.
“Saya rasa anda silap orang...Saya nafi saya adalah Datuk Rahim yang jadi broker tarik sokongan ahli-ahli Parlimen pembangkang.
“Saya sekarang sudah tidak terlibat langsung dalam politik, tak pegang sebarang jawatan parti pun. Saya juga tiada hubungan dengan PMO (Pejabat Perdana Menteri).
“Saya sekarang hanya tumpukan sepenuh masa kepada perniagaan saya sahaja. Saya juga sudah tidak mengikuti sangat perkembangan politik tanah air,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob yang mendakwa masih ada usaha pihak tertentu dipercayai mewakili Kerajaan Perpaduan, untuk mendekati dan memujuk ahli-ahli Parlimen pembangkang supaya mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.
Terbaru, Fathul Huzir mendedahkan terdapat seorang individu bernama 'Datuk Rahim' beberapa kali menghubunginya dan beberapa rakan ahli Parlimen PN serta menawarkan pelbagai ganjaran bagi memujuk mereka memindahkan sokongan kepada kerajaan sedia ada.
Pendedahan Fathul Huzir itu mengejutkan ramai pihak, di tengah-tengah keributan spekulasi Langkah Dubai yang didakwa Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai berasas dengan jumlah akuan bersumpah (SD) diterima PN sudah mencapai angka 120 ahli Parlimen.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pada Sabtu mengulangi kenyataannya bahawa sekurang-kurangnya lapan ahli Parlimen pembangkang akan menyatakan sokongan kepada Anwar.
Beliau berkata, ahli-ahli Parlimen terbabit dijangka mengisytiharkan sokongan berkenaan pada sidang Parlimen akan datang.
Terkenal sebagai rakan rapat Anwar, Abdul Rahim yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, sebelum ini pernah didedahkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai salah seorang individu yang cuba memancing sokongan 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada tahun 2008 bagi menjayakan ‘Langkah 16 September 2008’.
16 September 2008 adalah tarikh yang pernah disebut Anwar untuk membentuk kerajaan baharu bagi mengambil alih pentadbiran kerajaan BN dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu, namun rancangan tersebut gagal.