SHAH ALAM - Surat akuan bersumpah (SD) masih diperlukan ketika ini sebagai bukti sokongan kepada mana-mana ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri baharu jika mahu berlakunya pertukaran kerajaan.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, SD itu juga akan membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar sudah kehilangan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
“Dengan adanya SD ia akan menentukan siapakah pengganti Perdana Menteri berdasarkan sokongan diberikan ahli Parlimen yang menandatangani dokumen itu.
“Dalam konteks ini, SD yang diterima tidak perlu cukup dua pertiga daripada 222 jumlah ahli Dewan Rakyat kerana majoriti mudah pun sudah mencukupi iaitu sebanyak 112 ahli Parlimen,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Bagaimanapun, Ariff Aizuddin berkata, untuk memastikan sebuah kerajaan yang kukuh dapat diwujudkan, sesebuah blok politik tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada majoriti mudah.
Katanya, ia kerana dikhuatiri parti lawan melakukan tindak balas sekali gus akan menggugat kestabilan politik negara seperti yang berlaku semasa Malaysia dilanda krisis politik sebelum ini.
“Jadi kedudukan perlu diperkukuhkan dengan mendapat sekurang-kurangnya sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat,” ujarnya.