‘Amat mustahil Tun M terlibat Langkah Dubai‘

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Presiden Parti Pejuang, Datuk Marzuki Yahya menafikan sekeras-kerasnya bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad terlibat dengan satu gerakan menjatuhkan kerajaan yang dipanggil Langkah Dubai baru-baru ini.

Jelas bekas Menteri Luar itu, amat mustahil untuk Dr Mahathir terlibat dengan sebarang pertemuan sulit dengan segelintir ahli Parlimen penyokong kerajaan dan pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Tambahnya, ini kerana Dr Mahathir tidak pernah ke luar negara sejak beberapa minggu lalu.

Kata Marzuki, pihaknya kesal dengan tindak-tanduk pihak tertentu dalam Kerajaan Perpaduan yang cuba mengaitkan Dr Mahathir dengan spekulasi Langkah Dubai dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

**media[2483675]**

“Pasal Langkah Dubai, kami pun tidak tahu-menahu mengenainya. Bila gerakan itu terkait dengan Tun (Dr Mahathir), saya boleh jamin ia tidak tepat dan merupakan satu tuduhan tidak berasas.

“Sepanjang beberapa minggu lalu, Tun M tidak pernah ke luar negara. Kali terakhir beliau berada di luar kawasan pun adalah pada minggu lalu apabila Tun M pergi ke Langkawi,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop baru-baru ini mendakwa terdapat rancangan sulit untuk menjatuhkan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim melibatkan pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh bergelar Tun.

Mengulas lanjut, Marzuki turut menyifatkan spekulasi Langkah Dubai sengaja dibesar-besarkan Kerajaan Perpaduan bagi tujuan mengalih tumpuan rakyat daripada pelbagai isu kelemahan pentadbiran kerajaan sedia ada.

**media[2483673]**

Menurutnya, sekiranya dakwaan plot rancangan menjatuhkan kerajaan benar-benar dirangka parti pembangkang, mereka tidak perlu pun untuk mengadakan pertemuan di lokasi jauh sampai ke negara Asia Barat.

“Hendak jatuh kerajaan tidak payah sampai buat Langkah Dubai, Langkah Kedai Mamak pun dah boleh jadi kalau perkara itu benar-benar hendak diusahakan pembangkang.

“Saya hairan mengapa kerajaan sedia ada tidak benar-benar menfokuskan usaha menyelesaikan isu-isu mendesak berkait kepentingan rakyat terutama melibatkan kenaikan kos sara hidup.

“Adakah dengan perasaan curiga keterlaluan terhadap pihak pembangkang dan kebimbangan hilang jawatan Perdana Menteri menyebabkan Datuk Seri Anwar sanggup menggunakan segala jentera kerajaan untuk mewujudkan cerita dongeng bagi menekan pembangkang?” katanya.