Perlukah tambah sehingga 300 kerusi Parlimen?

SHAH ALAM - Pertambahan besar jumlah pemilih selain bilangan pengundi yang tidak sama rata di 222 kerusi Parlimen adalah antara sebab mengapa pelbagai pihak menggesa kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persempadanan semula kawasan Parlimen menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor pada Ahad contohnya menyaksikan lebih 300 perwakilan sebulat suara menyokong usul persempadanan semula supaya nisbah bilangan pengundi lebih adil antara kawasan Parlimen.

Malah, ada cadangan supaya SPR mengkaji kembali status kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi melebih 100,000 orang dan menambah kerusi baharu.

Berdasarkan laman web SPR, kini terdapat tidak kurang 85 kawasan Parlimen mempunyai pengundi melebihi 100,000, yang jika kesemuanya dipecahkan kepada dua kawasan akan menyaksikan pertambahan kerusi Parlimen daripada 222 kepada 307 kerusi.

Penganalisis Politik dari Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat berpendapat persempadanan semula perlu dilakukan susulan pertambahan lebih enam juta pengundi baharu berikutan pelaksanaan Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18.

Bagaimanapun jelas beliau, persempadanan itu tidak semestinya memerlukan pertambahan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), kecuali jika mahu menyamaratakan bilangan pengundi di negeri berkenaan.

Ujar beliau, Perkara 113 dan Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan saiz pengundi yang ideal bagi setiap kawasan pilihan raya.

“Apa yang ditekankan adalah untuk kawasan pilihan raya dalam negeri yang sama, bilangan pengundinya mesti 'lebih kurang sama banyak' berdasarkan Subseksyen 2(C) dalam Jadual Ke-13.

**media[2467767]**

“Contohnya pada April 2023, Bangi mempunyai 311,499 pengundi sedangkan Sabak Bernam hanya 51,842 pengundi, bermaksud jumlah pengundi Bangi lebih enam kali ganda berbanding Sabak Bernam.

“Perkara itu telah melanggar Perlembagaan kecuali jika kita anggap 'enam lebih kurang sama banyak dengan satu'. Ini juga merugikan orang muda Melayu kerana kuasa undi mereka rendah,” katanya kepada Sinar Harian.

Kali terakhir persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan adalah pada Mac 2018 iaitu sebelum PRU14.

Tambah Chin Huat, persempadanan kawasan pilihan raya hanya boleh dilakukan dalam tiga keadaan iaitu persempadanan biasa, perubahan bilangan kerusi Parlimen atau DUN serta perubahan sempadan negeri seperti pembentukan Putrajaya suatu ketika dahulu.

Beliau berkata, persempadanan biasa dilakukan bagi mematuhi kehendak Jadual ke-13 terutama bilangan pengundi dalam negeri adalah hampir sama.Menurutnya, ia hanya boleh dilakukan minimum selepas lapan tahun sejurus laporan kajian terakhir disampaikan kepada Perdana Menteri oleh SPR dan tiada tempoh maksimum.

“Bagi persempadanan kerana perubahan bilangan kerusi Parlimen atau DUN, tiada sekatan tempoh. Mesti dilengkapkan dalam masa dua tahun setelah perubahan bilangan kerusi berkuat kuasa, melibatkan negeri berkaitan,” jelasnya.

Sementara itu bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, persempadanan semula yang melibatkan pertambahan kerusi memerlukan pindaan Perlembagaan dan ia mesti dipersetujui oleh dua pertiga ahli Parlimen atau ahli DUN.

“Kalau kawasan itu terlalu besar atau terlalu ramai pengundi, pertambahan kerusi boleh dicadangkan sama ada peringkat Parlimen atau DUN.

“Bila ia berlaku, perlu ada pindaan Perlembagaan dan mesti mendapat kelulusan dua pertiga wakil rakyat. Kalau buat (tambah kerusi) dan bawa dalam persidangan Parlimen atau DUN, tetapi tidak dipersetujui, maka tiada guna juga,” ujarnya.

Sebelum ini, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, memaklumkan proses persempadanan semula di Sarawak sudah bermula tahun ini membabitkan kajian oleh SPR dalam tempoh dua tahun.

Selain itu, katanya, proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sabah akan bermula 2025, manakala di Semenanjung dijadualkan pada 2026.

Namun begitu, pembangkang sedikit skeptikal, malah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai lalu mendakwa Kerajaan Perpaduan akan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menambah kawasan pilihan raya kepada 300 kerusi jika memiliki majoriti dua pertiga dan melakukan persempadanan semula melibatkan pemindahan pengundi yang hanya akan menguntungkan kerajaan.

Info

Pertambahan jumlah kerusi Dewan Rakyat (1959-2022)

1959-1964: 104

1969: 144

1974-1982: 154

1986: 177

1990: 180

1995: 192

1999: 193

2004: 219

2008-2002: 222