Hanya retakkan hubungan UMNO-DAP

SHAH ALAM - Tindakan tokoh veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang membangkitkan isu sensitif seperti 'kaum bukan Melayu boleh dilantik menjadi Perdana Menteri' boleh meretakkan lagi hubungan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan Kerajaan Perpaduan yang turut disertai DAP.

Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub mempersoalkan niat sebenar Kit Siang mengeluarkan kenyataan sedemikian di saat UMNO kini berdepan waktu sukar selepas ditolak pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Jelasnya, Kit Siang tidak patut membangkitkan isu terbabit dengan hanya berlandaskan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan semata-mata.

Berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkenaan, semua rakyat Malaysia tidak kira kaum Melayu, Cina, India mahu pun Bumiputera Sabah dan Sarawak, boleh dilantik sebagai Perdana Menteri dengan syarat mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“DAP hakikatnya sudah menandatangani perjanjian membentuk Kerajaan Perpaduan di mana terdapat klausa dalam terma perjanjian itu menetapkan mana-mana parti tidak boleh membangkitkan empat isu sensitif melibatkan kepentingan segmen Melayu Islam di Malaysia.

“Empat isu terbabit ialah hak istimewa orang Melayu, kedudukan sultan dan raja-raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Hubungan UMNO dan DAP pada ketika ini berada pada tahap memuaskan. Adakah Kit Siang sengaja untuk merosakkannya?” katanya.

Mustapha bagaimanapun berpandangan kenyataan Kit Siang itu sekadar bersifat peribadi dan tidak mewakili DAP yang kini dipimpin Setiausaha Agung, Anthony Loke yang lebih bersikap terbuka.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan, kenyataan Kit Siang berkenaan boleh mengganggu keharmonian dan kerjasama yang wujud dalam kalangan koalisi parti membentuk Kerajaan Perpaduan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berkata, biarpun Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menyebut secara jelas bahawa Perdana Menteri mesti dalam kalangan orang Melayu, namun tiada keperluan Kit Siang untuk membangkitkan isu sensitif itu.

Dalam pada itu, Felo Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir berpandangan rakyat Malaysia terutama kaum Melayu dan Bumiputera selaku golongan majoriti masih belum bersedia menerima Perdana Menteri dalam kalangan bukan Melayu.

“Kenyataan itu juga mungkin menyebabkan parti mewakili 70 peratus penduduk Malaysia termasuk orang Melayu seperti UMNO, Pas dan Bersatu akan kembali bekerjasama bagi menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam di negara ini.

"Saya fikir jika DAP berusaha merealisasikan kenyataan Kit Siang berkenaan, parti-parti Melayu pastinya akan bersatu semula bagi menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam melebihi segalanya,” katanya.