Gandingan muka baharu, lama UPKO dianggap gabungan mantap

KOTA KINABALU - Gandingan muka baharu dan lama Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dilihat sebagai gabungan mantap bagi membantu kemenangan calon Warisan Plus.

Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick berkata, kesemua calon UPKO yang turut dilihat mempunyai kekuatan tersendiri bagi meraih undi selain terdiri dari pelbagai latar belakang akademik.

“Pada PRN kali ini saya yakin calon muda UPKO yang ditampilkan mempunyai cetusan idea baharu untuk sama-sama memajukan kawasan masing-masing dan juga Sabah secara keseluruhannya,” katanya ketika dihubungi disini, hari ini.

Katanya, yang kekal bertanding bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian berharap rakyat Sabah dapat membuat pilihan bijak selain memberi sokongan padu kepada calon yang ditampilkan Warisan Plus.

“Ini perlu bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri yang dirancang sebelum ini akan dapat terus dilancarkan untuk kesejahteraan masyarakat seluruh Sabah,” katanya.

Terdahulu, UPKO mengetengahkan seorang calon wanita iaitu Timbalan Setiausaha Agung, Georgina L. George yang akan bertanding di kerusi DUN Paginatan.

Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pula akan bertanding bagi kerusi DUN Kiulu; Datuk Dr Lucas Umbul (DUN Kemabong), Setiausaha Agung Nelson W. Angang (DUN Kuala Penyu) dan Bendahari Agung Datuk Dr Laurentius Nayan Ambu yang merupakan bekas Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah bertanding bagi kerusi DUN Tambunan).

Turut bertanding Ketua Pemuda UPKO Felix Joseph Saang bagi kerusi DUN Telupid, Junsim Rumunzing (DUN Bengkoka), Padis Majingkin (DUN Tandek), Albert Aguir (DUN Nabawan), Dennis Tweening Rantau (DUN Labuk) dan Benson Inggam (DUN Kuamut).

Ewon BenedickPRN Sabah UPKO
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :