BN kekal berkuasa di DUN Slim

TANJUNG MALIM - Seperti dijangka Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dengan kemenangan besar pada pilihan raya kecil (PRK) ini.

Calonnya, Mohd Zaidi Aziz, 43, menang dengan majoriti 10,945 selepas memperoleh 13,060 undi dalam pertandingan tiga penjuru bersama dua calon Bebas.

Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang menggunakan lambang pokok dan mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 2,115 undi, manakala bekas guru, S Santharasekaran, 44, dengan lambang buku pula memperoleh 276 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Shamsul Ridzuan Idris di pusat penjumlahan undi rasmi di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) di sini pada jam 9.02 malam.

ARTIKEL BERKAITAN: BN mendahului dengan majoriti besar

Shamsul Ridzuan berkata, terdapat hanya 327 kertas undi yang ditolak selepas semua 13 pusat mengundi membabitkan 55 saluran ditutup pada jam 5.30 petang tadi.

Peratusan keluar mengundi yang direkodkan adalah 68.40 peratus.

Dengan persepakatan Muafakat Nasional dan kerajaan Perikatan Nasional, majoriti diraih Mohd Zaidi itu lima kali lebih tinggi daripada jumlah majoriti diperoleh penyandangnya sebelum ini, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib iaitu 2,138 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada PRU14, Mohd Khusairi memperoleh 8,327 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim (6,144 undi) dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal (4,103 undi).

DUN Slim mempunyai 23,094 pemilih berdaftar terdiri daripada 22,749 pengundi biasa, 267 pengundi awal dan 78 orang mengundi secara pos.

Ini merupakan kemenangan ketujuh buat BN daripada 12 PRK yang diadakan selepas PRU14 pada 9 Mei 2018.

BN sebelum ini menang di PRK Parlimen Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis dan Chini.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian Mohd Khusairi yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.

PRK DUN Slim Perak Barisan Nasional pertandingan tiga penjuru Muafakat Nasional Perikatan Nasional
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Berita Popular

Video Popular