PRK Chini: Dua pasangan pengantin curi tumpuan

PEKAN - Kehadiran dua pasangan pengantin untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini hari ini menarik perhatian ramai.

Pasangan Abdul Rahim Idris, 28, dan Ainul Aqilah Abdul Halim, 23, yang memakai pakaian pengantin berwarna merah hati serta Muhamad Aizat Zulkifli, 27, dan Siti Hajar Idris, 27, yang sedondon mengenakan busana perkahwinan warna biru gelap, tiba di pusat mengundi di Dewan Semai Bakti, Felda Chini 3 kira-kira 2.45 petang.

Abdul Rahim dan Siti Hajar, yang merupakan adik-beradik, hadir untuk mengundi selepas selesai majlis resepsi mereka di rumah keluarga di Felda Chini 3.

Abdul Rahim yang bekerja dengan syarikat penyedia makanan di pelantar minyak berkata, tarikh majlis resepsi mereka pada hari ini dipilih selepas bernikah dan mengadakan kenduri perkahwinan sebelah pihak isterinya pada 25 Januari lepas di Balok, Kuantan.

"Saya memilih tarikh ini kerana adik saya, Siti Hajar turut merancang mengadakan majlis resepsi pada hari ini yang menjimatkan kos bagi keluarga kami. Saya bagaimanapun tak menyangka tarikh yang dipilih hari ini akan berlangsung PRK Chini," katanya ketika ditemui di pusat mengundi berkenaan, di sini, hari ini.

Pengantin adik beradik, Abdul Rahim Idris (kanan) dan adiknya Siti Hajar Idris (kiri) semasa mengundi di Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Felda Chini 3 hari ini. Foto: Bernama
Sementara itu, Muhamad Aizat berkata, beliau hanya datang menemani isterinya mengundi pada hari ini kerana beliau bukan pengundi di kawasan ini.

Katanya, yang telah bernikah semalam, tarikh majlis mereka pada hari ini dipilih sejak bulan Disember tahun lepas, semasa mereka bertunang.

"Kami sebenarnya sudah membatalkan majlis kenduri ini kerana tidak dibenarkan mengadakannya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Namun, pengumuman kebenaran majlis dengan tetamu tidak lebih 250 orang pada minggu lalu membuatkan kami kembali mengadakannya pada hari ini," katanya yang bekerja sebagai penjawat awam.

Beliau yang sudah mengenali isteri sejak di bangku sekolah ketika mereka bersekolah di Pekan, berkata kenangan mengundi pada hari perkahwinan akan menjadi peristiwa yang tidak akan dilupakan.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49. - Bernama

 

Mohd Sharim Md Zain
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Berita Popular

Video Popular