Warga emas tunai tanggungjawab meskipun tahu risiko Covid-19

PEKAN - Sedar tentang risiko wabak koronavirus (Covid-19) namun ia bukan halangan buat golongan warga emas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengundi wakil rakyat baharu mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu hari ini.

Antara pengundi tertua di DUN Chini Chik Ibrahim, 97, bersama isterinya Ramlah Abdullah, 85, mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Chini 2 dekat sini, walaupun pergerakan mereka agak terbatas disebabkan faktor usia, mereka tetap bersemangat dengan tiba pada jam 8.45 pagi.

Chik berkata, beliau dan isterinya bergerak ke pusat mengundi berkenaan dengan kenderaan yang disediakan parti politik yang turut menghantarnya pulang ke kediamannya di Felda Chini 2.

“Saya dan isteri sangat bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia di mana kami telah bersiap seawal jam 7 pagi,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat mengundi berkenaan.

Katanya, keadaan di pusat mengundi juga sesuai bagi warga emas kerana disediakan kereta 'buggy' bagi membawa pengundi ke dalam kawasan sekolah dan kemudahan kerusi roda selain dijalankan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi membendung wabak Covid-19.

Seorang lagi warga emas Khaziah Hussain, 68, dari Felda Chini 2, turut bersemangat keluar mengundi pada hari ini meskipun mengalami sakit di bahagian lutut.

“Hari ini saya datang mengundi di sini dengan dihantar oleh anak saya walaupun tidak sihat sedikit. Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) banyak membantu saya bagi mengundi pada hari ini.

“Saya tidak berasa risau untuk keluar mengundi pada hari ini meskipun wabak Covid-19 masih wujud kerana percaya dengan keberkesanan SOP yang dilaksanakan,” katanya.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

PRK DUN Chini satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 7 Mei lepas akibat serangan jantung.

Ia merupakan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas dengan beberapa SOP diperkenalkan termasuk saluran khusus bagi pengundi berusia 60 tahun ke atas. - Bernama

Mohd Sharim Md ZainTengku Datuk Zainul Hisham Tengku HussinMohd Shukri Mohd RamliPRK Chini

Berita Popular

Video Popular