13 pusat pengundian PRK DUN Chini dibuka jam 8 pagi ini

PEKAN - Semua 13 pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dibuka jam 8 pagi bagi membolehkan 20, 816 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Ia melibatkan 65 saluran mengundi di beberapa buah sekolah, dewan dan balai raya.

Proses pengundian akan ditutup jam 5.30 petang sebelum semua peti undi dibawa ke pusat penjumlahan undi di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara, Paloh Hinai di sini.

Seramai 156 pengundi biasa bagi PRK ini mengundi secara pos, manakala 17 pengundi dalam kalangan anggota polis mengundi melakukan pengundian awal pada 30 Jun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan 70 peratus pemilih keluar mengundi pada PRK ini.

SPR menetapkan prosedur operasi standard (SOP) ketat sepanjang tempoh berkempen dan hari pengundian PRK ini yang berlangsung ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ekoran pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengundi dinasihatkan keluar mengundi mengikut 'masa keluar mengundi yang digalakkan' dan tidak melakukannya pada saat-saat akhir walaupun waktu mengundi ditetapkan dari jam 8 pagi hingga jam 5.30 petang selain perlu mematuhi SOP ditetapkan.

Mereka juga akan disaring dengan mengambil suhu badan dan bagi yang bergejala, proses pengundian akan dilakukan di khemah khas di bawah pemantauan petugas kesihatan.

Seramai 140 petugas kesihatan ditempatkan pada PRK DUN Chini dengan enam petugas terdiri empat doktor dan dua petugas kesihatan awam di setiap pusat pengundian bagi memantau pematuhan SOP ditetapkan.

Selain itu tiga ambulans turut disediakan sepanjang proses pengundian hari ini.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain yang ditentang dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli.

Calon BN sebagai pengundi di DUN Chini mengundi di pusat mengundi di Dewan Semai Bakti Felda Chini 3 di sini.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun (BN) yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) 7 Mei lalu akibat serangan jantung.

Mohd Sharim Md ZainTengku Datuk Zainul Hisham Tengku HussinMohd Shukri Mohd RamliPRK Chini

Berita Popular

Video Popular