PRK DUN Chini: Pemuda Pas Chini 3 berkempen bersama calon BN

PEKAN - Pemuda Pas Chini 3 memberi komitmen sepenuhnya dalam membantu gerak kerja kempen calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini kali ini.

Ketuanya, Mohammad Iqbal Abdul Majid berkata, Pas Pahang sebenarnya menggerakkan seluruh jentera termasuk sayap Pemuda, Wanita dan dewan ulamanya bagi membantu calon BN mewakili Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional (PN).
 
Menurutnya, kerjasama itu bagi memastikan calon BN yang ditentang dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli menang dengan majoriti besar.

"Kita mengambil dua pendekatan menggerakkan jentera dalam membantu kempen calon BN ini.

"Pertamanya ada jentera kita bergerak sendiri membantu kempen calon BN dengan mendekati pengundi melalui program atau aktiviti yang dijalankan manakala saya sendiri selaku Ketua Pemuda Pas Kawasan Chini 3 ini bergerak bersama calon, "katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Mohd Sharim ke Bilik Gerakan Pas di Felda Chini 4 di sini hari ini.

Mohd Iqbal berkata, beliau melihat sokongan pengundi kepada calon BN berada pada tahap terbaik.
 
"Selepas beberapa hari proses kempen, sokongan pengundi rata-rata terarah kepada calon BN dan kita yakin BN boleh menang dengan majoriti besar," katanya.

Mohd Sharim Md ZinPRK Chini