'Saya tak terkejut dipecat daripada Bersatu'

PEKAN - Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin mengakui telah menerima surat penamatan keahliannya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melalui surat ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya bertarikh 22 Jun lalu.

Beliau berkata, beliau mengambil maklum berhubung penamatan keahliannya dalam Bersatu namun langsung tidak terkejut malah sudah menduga tindakan parti itu ke atasnya.

"Seperti mana yang saya tegaskan sebelum ini, saya bersedia mengambil risiko termasuk dipecat dari parti atas keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas pada PRK DUN Chini kali ini.

"Keputusan saya buat ini bukan mudah sebaliknya ia juga atas perbincangan bersama Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Pekan, ketua-ketua cawangan, ahli, rakan dan keluarga.

"Pada perbincangan itu kami turut bincang tentang kesan dan risiko keputusan ini, setelah meneliti semua pandangan saya akhirnya ambil keputusan untuk bertanding," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.
 
Tengku Zainul Hisham berkata, pemecatan beliau daripada Bersatu membuktikan beliau calon Bebas yang benar-benar bebas tanpa disokong atau didorong mana-mana pihak termasuk parti politik.

"Justeru yang dilempar pihak tertentu melalui banner yang dimuat naik melalui laman sosial dengan memaparkan gambar dan nama saya bersama logo Bersatu tertolak dengan sendirinya.
 
"Bagaimanapun sebagai calon Bebas, saya tidak menolak mana-mana pihak yang tampil untuk membantu pada kempen PRK DUN Chini kali ini," katanya.

Beliau berkata, beliau bertanding tetap untuk menang bagi merealisasikan hasratnya untuk mengangkat dan memartabatkan 'suara rakyat Chini' supaya keluhan, rintihan dan keresahan rakyat atas pelbagai isu termasuk bebanan kos sara hidup didengar pihak kerajaan.

"Saya juga mahu memacu suara anak muda, suara anak Felda, suara masyarakat kampung Melayu tradisi dan masyarakat orang asli di sini," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau mewakili seluruh penduduk dan pengundi di DUN Chini berterima kasih kepada kerajaan Pahang atas arahan menghentikan semua aktiviti perlombongan di sekitar kawasan Chini.

Beliau mendakwa, arahan dikeluarkan pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) itu bukan secara kebetulan sebaliknya ia hasil pertemuan beliau berdialog bersama penduduk berhubung isu itu sebelum ini.

"Dalam dialog itu, salah satunya isu disentuh berkaitan pencemaran di Tasik Chini dan alam sekitar yang berpunca daripada aktiviti perlombongan di kawasan berkenaan," katanya.

Katanya, sepertimana janji manifestonya pada kempen PRK kali ini iaitu membawa dan memartabatkan suara rakyat Chini, isu-isu seperti ini akan sentiasa diperjuangkan.

"Arahan menghentikan aktiviti perlombongan ini harapnya bukan gula-gula pilihan raya sebaliknya pihak kerajaan negeri melalui agensi berkaitan perlu sentiasa memantau, menyiasat, membuat kajian dan sebagainya berkaitan aktiviti perlombongan.

"Ia bagi melihat dan mengenal pasti sama ada aktiviti perlombongan ini memberi impak positif atau negatif kepada kehidupan penduduk sekitar," katanya.

Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku HussinPRK Chini

Berita Popular

Video Popular