TEMERLOH - Sesuatu yang menarik bakal disaksikan 9 Mei nanti apabila hampir pasti semua 14 kerusi Parlimen di Pahang akan berlaku pertembungan tiga penjuru dan berdasarkan desas- desus, kemungkinan berlaku pertembungan lima penjuru terutama di kerusi P88 Temerloh.
Bekas Ketua Pengarang Berita TV3, Khaidir Ahmad, 56, dan bekas Pegawai Daerah Temerloh Datuk Abu Jamal Nordin, 62, berhasrat untuk bertanding atas tiket Bebas pada PRU kali ini.
Tidak terkecuali 42 kerusi Dun yang kemungkinan besar juga akan berlaku pertembungan tiga penjuru berdasarkan keputusan Pas, Bersatu, PKR dan Amanah yang sudah pun memuktamadkan calon masing-masing, hanya BN yang belum berbuat demikian (bakal umum hari ini).
Melihat senario ini, di atas kertas pertembungan tiga penjuru dilihat lebih memihak kepada BN berdasarkan bilangan kerusi dimenangi iaitu 10 Parlimen dan 30 Dun pada PRU13 berbanding pembangkang ketika itu di bawah Pakatan Rakyat hanya menguasai empat parlimen (Temerloh, Kuantan, Indera Mahkota dan Raub) dan 12 kerusi Dun.
Sudah tentu, BN terutama Umno ada kekuatan tersendiri menaruh keyakinan tinggi untuk terus kekalkan kerajaan selepas PRU14 ini.
Bebeza dengan pembangkang yang menaruh keyakinan namun sandaran mereka untuk menang masih bersimpang.. tetapi dalam dunia politik semua boleh jadi.
Mungkin juga PRU14 ini, pihak pembangkang ada peluang untuk menang lebih kerusi.. untuk ambil alih kerajaan sukar untuk diramal.
Pas paling menyerlah
Jika dilihat dalam konteks kerusi, Pas paling mendominasi pada PRU14 ini apabila meletakkan calon di semua kerusi parlimen dan Dun kecuali Dun Triang yang belum diputuskan calonnya.
Secara keseluruhannya semua calon dari Pas kecuali tiga dari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).
Manakala BN dan Harapan, biarpun bertanding di semua kerusi namun pembahagiannya melibatkan parti-parti komponen.
Berdasarkan PRU13, Umno bertanding di lapan kerusi parlimen, MCA (1) dan MIC (1) manakala untuk Dun, Umno (28), MCA (2).
Bagi Harapan kali ini, Amanah bertanding di satu kerusi parlimen dan 11 kerusi Dun, DAP (3 Parlimen 8 Dun), Bersatu (6 Parlimen 9 Dun) dan PKR (4 Parlimen 14 Dun).
Biarpun dalam kiraan mudahnya, BN dilihat masih kuat di Pahang ini, namun mereka tidak boleh lagi terus berada di zon selesa sebaliknya perlu melihat kepada kesan pertembungan tiga penjuru kali ini selain beberapa faktor yang mungkin mendorong kepada berlaku putaran arah sokongan pengundi kelak.
Jik dilihat pada keputusan PRU13, dua kerusi Parlimen dimenangi BN dengan majoriti kecil iaitu Cameron Highlands dengan 462 undi dan Bentong, 379 undi. Ini menunjukkan kemampuan DAP tidak boleh dipandang ringan.
Manakala untuk kerusi Dun, 10 kerusi dimenangi BN dengan majoriti bawah 2,000 undi..maknanya, pakatan pembangkang sudah ada sokongan kuat.
PRU13 bukan kayu ukuran
Mungkin senario ini juga sudah termasuk dalam percaturan strategi dua blok pembangkang untuk menang di semua kerusi berkenaan.
Tapi sudah tentu, pembangkang tidak boleh lagi jadikan faktor majoriti PRU13 sebagai kayu ukur sokongan kali ini kerana ketika itu, mereka bersatu di bawah Pakatan Rakyat.
Kali ini sokongan kepada pembangkang terpecah dua dan sudah pasti sokongan ‘solid’ kepada Pas dan Harapan boleh jadi semakin kecil.
Sudah tentu mereka juga mengharapkan keajaiban tinggal lagi harapan bersandar kepada undi atas pagar, undi baharu atau undi sabotaj dan sebagainya.
BN juga sama, bilangan undi yang dimenangi pada PRU13 juga tidak akan kekal begitu... mungkin sokongan akan bertambah dan mungkin juga berkurangan.
Kita kena lihat beberapa isu yang mungkin mengalih arah sokongan pengundi kepada blok pembangkang, antaranya, kewujudan parti Bersatu yang mana ahli-ahlinya adalah bekas orang Umno.
Isu-isu rakyat yang gagal ditangani kerajaan misalnya kos sara hidup, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, kelemahan pentadbiran dan sebagainya sudah lama dimainkan pembangkang.
Jadi melihat kepada perkembangan ini, di sebalik keyakinan semua parti untuk bersaing tiga penjuru kali ini, nampaknya tiada jalan mudah untuk menang.
Sebaliknya masing-masing turut mengharapkan kepada keajaiban untuk menang di negeri Tok Gajah ini.