Dua maut disyaki berlumba, motosikal berlanggar sesama sendiri

Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 65, Jalan Sandakan-Lahad Datu-Kinabatangan pada Khamis.

KINABATANGAN - Dua penunggang motosikal maut selepas disyaki berlumba dalam kejadian kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 65 Jalan Sandakan-Lahad Datu-Kinabatangan pada malam Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, dua lelaki yang belum diketahui identiti disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dipercayai terdapat seorang lagi mangsa yang selamat.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, kemalangan terbabit melibatkan tiga motosikal yang ditunggang tiga pekerja ladang di daerah ini.

"Siasatan awal di lokasi mendapati, ketiga-tiga penunggang motosikal itu bergerak dari arah Lahad Datu menuju ke Sandakan namun telah hilang kawalan kerana disyaki berlumba sebelum berlanggar antara satu sama lain.

"Akibat kejadian itu, motosikal mereka terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan tiada sebarang kesan kenderaan lain.

"Dua daripadanya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kinabatangan manakala seorang lagi tidak dijumpai di lokasi dan dipercayai telah beredar dari kawasan kemalangan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Katanya lagi, kedua-dua mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk dibedah siasat.

"Hasil pemeriksaan juga mendapati kedua-dua mangsa tidak disyaki mabuk namun sampel darah dan air kencing telah diambil untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :