Anwar perlu buktikan sokongan sebenar diterima: Abdul Hadi

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan 'kegagalan' gabungan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai partinya mentadbir negara sebagai ada hikmah di sebaliknya.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, apa yang penting PN bersikap jujur, sabar dan istiqamah dalam menghadapi apa jua situasi yang berlaku ketika ini.

Namun katanya, Perdana Menteri yang baharu dilantik, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan sokongan sebenar yang diterima hingga melayakkan beliau memegang jawatan pemimpin nombor satu negara itu.

"Segala yang berlaku telah berlaku, pasti ada hikmahnya. Yang penting kita jujur kepada rakyat, bersabar, dan tetap istiqamah.

"Terima kasih kepada rakyat atas sokongan tidak berbelah bahagi. Kita telah berusaha sedaya upaya. Seterusnya Perdana Menteri perlu membuktikan sokongan sebenar yang diterima," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Tambahnya, meskipun gagal membentuk kerajaan, gabungannya bertekad untuk terus berkhidmat dan menabur bakti kepada negara.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pada jam 5 petang Khamis.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pelantikan tersebut berikutan perkenan Seri Paduka Baginda selepas mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada sebelah pagi hari yang sama.

Anwar dipercayai akan menerajui kerajaan Persekutuan baharu menggabungkan dua parti terbesar iaitu PH dan BN dengan majoriti kerusi Parlimen iaitu 112.

Bagaimanapun, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang akhbarnya pada hari sama mencabar Anwar mengemukakan keabsahan mempunyai sokongan majoriti daripada ahli-ahli Dewan Rakyat melantiknya sebagai Perdana Menteri ke-10.

Jelasnya, bukti tersebut penting bagi mengelak keraguan dan memastikan proses pelantikan itu berpandu kepada Perlembagaan.

Kemelut penubuhan kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri bermula apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu menyaksikan tidak ada gabungan parti mendapat majoriti mudah.

Pada PRU15, PH memenangi sebanyak 82 kerusi Parlimen, diikuti Perikatan Nasional (73 kerusi), BN (30 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (22 kerusi), Gabungan Rakyat Sabah (enam kerusi) dan calon Bebas dua kerusi.

ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :