Anwar pilihan terbaik warga Port Dickson

PORT DICKSON - Kesanggupan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan diri sebagai calon dalam PRK Port Dickson adalah satu peluang warga kawasan itu membuat pilihan terbaik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata diharap warga Port Dickson memberi peluang terhadap Anwar untuk berbakti pada negara.

"Kenapa perlu tukar Datuk Danyal Balagopal Abdullah sebagai ahli Parlimen sini?

"Beliau (Anwar) 11 tahun telah dipenjarakan sebelum ini. Dinafikan hak bertanding..sekarang beliau telah tawar diri apakah orang Port Dickson tidak boleh menerimanya?," katanya dalam Ceramah Mega PH, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir adalah Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, berilah peluang Anwar untuk menjadi wakil rakyat dalam usaha memulihkan negara ke arah lebih baik.

Katanya, dahulu di bawah gandingan Dr Mahathir, Anwar telah dipilih sebagai menteri kewangan terbaik asia pada tahun 1996.

"Ini yang kita mahukan..hari ini hutang negara menegak. Betapa risaunya untuk melunaskan masalah itu. Inilah masa dan ketikanya.

"Apa salahnya pilih Anwar untuk wakil rakyat di sini," katanya.

Anwar IbrahimBersatu