PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh PRK Port Dickson akan diadakan pada 13 Oktober ini.
Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, pihaknya telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Yusof pada 12 September lalu berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Port Dickson berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.
Menurutnya, susulan kekosongan luar jangka itu, SPR mengadakan mesyuarat khas pagi ini dan menetapkan PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi Parlimen berkenaan.
"Tarikh keluar writ adalah pada 20 September 2018, hari penamaan calon pada 29 September 2018 (Sabtu), hari mengundi awal 9 Oktober 2018 (Selasa) dan hari mengundi pada 13 Oktober 2018 (Sabtu).
"Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari, bermula pada hari penamaan calon sehingga 11.59 malam, 12 Oktober 2018," katanya pada Sidang Media SPR berkaitan PRK Port Dickson, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Port Dickson untuk Anwar]
Othman berkata, pihaknya mensasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi.
"SPR juga memohon kerjasama semua pihak termasuk media dan parti-parti agar mengambil langkah untuk mengajak dan menggalakkan pengundi keluar mengundi," katanya.
Katanya, daftar pemilih pilihan raya yang akan digunakan untuk PRK Port Dickson adalah sehingga suku kedua tahun 2018 yang dikemaskini sehingga 11 September tahun ini.
"Daftar pemilih tersebut mengandungi 75,770 orang pemilih berdaftar yang terdiri daripada 68,486 orang pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara.
"Para pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi di laman sesawang SPR," katanya.
Katanya, SPR akan meneruskan penambahbaikan seperti menyediakan dua saluran khusus bagi pengundi yang berumur 60 tahun dan ke atas.
"Selain itu kita akan memanjangkan tempoh masa pengundian dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang berbanding jam 5 petang sebelum ini.
"Kita juga menambah saluran mengundi di pusat-pusat mengundi yang mempunyai jumlah pemilih yang ramai. Bagi PRK ini, sebanyak 26 saluran baharu diwujudkan bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ranai di satu-satu saluran menjadikan keseluruhan adalah 171 saluran berbanding 145 saluran pada PRU14," katanya.
Mengulas lanjut, Othman berkata, SPR telah bersetuju melantik Khairy Maamor sebagai Pegawai Pengurus PRK Port Dickson.
"Beliau akan dibantu sembilan penolong pegawai pengurus dan pihak kami juga bersetuju menubuhkan lima Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjanh tempoh rasmi berkempen.
"SPR akan menggunakan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi," katanya.
Beliau berkata, PRK Port Dickson ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM3.6 juta.
"Pada PRK ini seramai 1,403 orang petugas dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya. Manakala sebanyak 39 buah pusat mengundi yang mengandungi kesemuanya 171 saluran akan digunakan bagi kemudahan mengundi," katanya.
Katanya, SPR turut menawarkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana badan yang berminat untuk menjalankan pemerhatian ke atas perjalanan proses PRK ini bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.
"Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi.
"Selain itu, kepada mana- mana badan yang berminat untuk menjadi pemerhati PRK ini boleh mengemukakan permohonan kepada SPR. Tarikh tutup permohonan sebagai pemerhati tempatan ialah pada 25 September ini," katanya.