Dr Md Farid adakan perjumpaan, rangka gerak kerja

PONTIAN - Ahli Parlimen Tanjung Piai, Dr Md Farid Md Rafik sudah pun mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua jabatan peringkat Persekutuan dan negeri di daerah ini bagi mendapatkan gambaran sebenar pembangunan pada masa kini.

Katanya, pertemuan tersebut dapat bantu beliau merangka gerak kerja dalam memberi perkhidmatan kepada penduduk.

“Selain dengar taklimat, kami juga kemuka aduan serta permasalahan semasa kempen dahulu bagi tindakan pihak berkenaan,” katanya.

Dr Md Farid berkata, beliau bersedia menerima teguran dan pandangan orang ramai bagi sama-sama membantu meningkatkan lagi mutu perkhidmatan di Parlimen Tanjung Piai.

Justeru, tiga Pusat Khidmat Wakil Rakyat akan dibuka di Parlimen Tanjung Piai bagi memudahkan orang ramai mengemukakan aduan dan dapatkan bantuan.

Katanya, pusat tersebut akan dibuka di Pekan Permas, Pekan Nanas bergabung dengan Adun Pekan Nanas dan sebuah lagi di Pusat Perdagangan Pontian atau Tambak.

“Kerajaan Pakatan Harapan yang diberi mandat menerajui negara selepas 9 Mei lalu akan pastikan masalah dihadapi rakyat diberi perhatian dan pembelaan sebagaimana manifesto pilihan raya,” katanya,” katanya pada majlis kesyukuran meraikan kemenangan calon-calon Pakatan Harapan yang bertanding pada PRU14 di Pusat Perdagangan Pontian. 

Hadir sama, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya, Adun Pekan Nanas Yeo Tung Siong, Setiausaha Organisasi Amanah, Suhaizan Kayat dan Pengerusi Pakatan Harapan Parlimen Pontian, Raden Sarobo Pono.

Kira-kira 2,000 orang hadir majlis tersebut sebagai tanda penghargaan kepada pengundi yang telah mengundi memenangkan calon-calon Pakatan Harapan pada PRU14 lalu termasuk bagi Dun Pulai Sebatang.

Sempena majlis kesyukuran tersebut, turut diedarkan tabung bagi membantu mangsa kebakaran, Rozy Taib, 51, yang kediamannya terbakar di Kampung Tenggayun baru-baru ini.

Sebanyak RM2,086 berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai.

Dr Md Farid Md RafikPontian Tanjung Piai
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :