Perancangan Muhyiddin lebih berkesan

BATU PAHAT - Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Khairul Faizi Ahmad Kamil menyifatkan perancangan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menjawat jawatan Perdana Menteri dilihat berkesan sehingga hari ini.

Khairul Faizi turut memberikan contoh bagaimana kerajaan PN sewaktu pimpinan Muhyiddin menggesa rakyat Malaysia divaksinkan dan perancangan pelbagai jenis bantuan yang diberikan oleh kerajaan sebelum ini.

“Bagaimana kaedah Muhyiddin menangani, walaupun pada masa itu timbul kononnya kerajaan gagal dan tidak berjaya dengan kes Covid-19 pada masa itu agak tinggi.

“Tetapi kita tidak melihat itu sebagai gagal sebab itu adalah fenomena yang kita hadapi ketika itu. Istilah gagal tidak boleh kita guna walaupun ada kelompok-kelompok sebelum ini gunakan perkataan gagal semasa Muhyiddin.

“Bagi kita, itu adalah fenomena yang perlu kita hadapi dan tangani bersama,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Di bawah pemerintahan Muhyiddin, rakyat diminta untuk mengambil vaksin Covid-19.

Selain daripada itu, antara bantuan yang diumumkan oleh Muhyiddin bagi membantu rakyat berdepan penularan wabak Covid-19 adalah seperti Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) dan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

Pada 2 Mac, Muhyiddin kemudiannya melancarkan Ikrar PN Untuk Johor, manifesto gabungan itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan slogan ‘Demi Bangsa Johor’.

Muhyiddin berkata, PN menyediakan ikrar berteraskan lapan tunjang utama, berpasukan 24 strategi dan berlandaskan 145 pendekatan.

Mengulas lanjut, Khairul Faizi berpendapat dengan ikrar yang dilancarkan oleh Muhyiddin itu, calon PN bersedia untuk menjadikan agenda rakyat sebagai agenda utama.

“Rakyat menjadi tumpuan kita. Segala bentuk permasalahan rakyat, menjadi keutamaan kita.

“Dalam masa yang sama, untuk mencapai hasrat membantu rakyat kita letakkan integriti itu sebagai perkara yang paling utama dalam kerajaan PN yang kita akan bentuk pada masa akan datang,” ujarnya.

Menyentuh mengenai pemberian bantuan yang diberikan menerusi bajet, Khairul Faizi menyifatkan pemerintahan pada waktu itu sangat kritikal sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang besar.

“Dengan pelbagai dana yang telah disalurkan kepada rakyat dengan pelbagai pakej. Pada masa itu adalah masa yang sangat kritikal.

“Ada yang menghadapi tekanan perasaan kerana tidak boleh keluar rumah dan ada yang tidak dapat berjumpa dengan keluarga dalam tempoh yang panjang,” ujarnya.

Khairul Faizi juga berpandangan sewaktu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, keadaan ekonomi negara sudah semakin pulih.

“Kalau kita lihat hari ini, tak ada isu orang sudah tidak boleh keluar kerja dan orang yang hilang kerja (sebelum ini) sebahagiannya sudah mendapat kerja.

“Ketika ini kita tidak mendengar orang kena buang kerja kerana ekonomi sudah berjalan,” jelasnya.

REAKSI

“Saya berterima kasih dengan apa yang diberikan oleh kerajaan dengan pelbagai jenis bantuan sewaktu rakyat bertarung dengan pandemik Covid-19.” Yer Khun Hack, 70

“Saya sangat menghormati Muhyiddin sebab beliau sangat risau kepada rakyat dan sentiasa mengingati rakyat agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Beliau juga ada membantu rakyat khususnya peniaga dari segi pemberian bantuan wang.” Yer Hsieh Hua, 38

“Pemerintahan yang lepas mempunyai banyak kelemahan dan aku janjinya tidak ada yang menepati (janji). Saya ikut perkembangan juga tetapi apa yang dijanjikan oleh Muhyiddin, semua ditunaikan.” Isnin Dawam, 56

“Sewaktu Muhyiddin memerintah, dapat juga kita merasa duit bantuan yang diberikan olehnya. Walaupun tidak banyak, kita bersyukur dengan apa yang ada.” Maisarah Abdul Manan, 50

“Kalau Muhyiddin jadi Perdana Menteri semula, lagi bagus. Dengan bantuan yang diberikan kepada kita, kita tidak ada masalah. (Tetapi apabila) ‘abah’ sudah tidak jadi Perdana Menteri, bantuan ada tetapi kita tidak dapat terima.” Jefry Disun, 41