Janji terus khidmat terbaik

PADANG SERAI - Pas terus berjaya mempertahan kerusi Dun Merbau Pulas walaupun tidak lagi bersama Pakatan Harapan pada PRU14 kali ini.

Ketua Muslimat Pas Kedah, Datuk Siti Ashah Ghazali diumumkan menang dengan majoriti 438 undi sekali gus berjaya mempertahan kerusinya bagi penggal ketiga.

Pengumuman itu dibuat Pegawai Pesuruhjaya Pilihan Raya (SPR), Mohamad Che Nai kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Siti Ashah mendapat 9,892 undi diikuti BN, Datuk Asmadi Abu Talib (9,454) dan Harapan, Abd Razak Salleh (9,267).

Menurut Siti Ashah kemenangan ini membuktikan rakyat masih memberi kepercayaan kepadanya untuk mentadbir di kawasan itu.

“Terima kasih kepada rakyat dan penyokong yang terus memberi kepercayaan kepada saya setelah dua penggal berkhidmat.

“Dengan mandat yang diberikan kali ini saya akan terus memberi khidmat yang terbaik untuk mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu pada PRU13 Siti Ashah menang 14,705 dengan majoriti 633 undi mengalahkan calon BN, Datuk Marlia Abd Latiff (14,072).

Siti Ashah GhazaliMerbau Pulas
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :