Kerja keras di Permatang Pasir berbaloi

BUKIT MERTAJAM - “Jangan panggil saya YB, panggil saya Faiz sahaja,” itu reaksi calon PKR Permatang Pasir, Faiz Fadzil apabila ditemui selepas diumumkan memenangi kerusi berkenaan lewat malam kelmarin.

Faiz yang juga Timbalan Ketua Pemuda Amanah berkata, kejayaan yang dikecapi itu hasil usaha semua jentera parti dan berkat sokongan ibunya.

Menurutnya, walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran dan propaganda yang dimainkan pihak lawan namun beliau bersyukur kerana kemenangan berpihak kepadanya.

“Terima kasih dan saya sangat bersyukur. Ini kemenangan terbaik untuk Amanah yang mula menapak di Pulau Pinang.

“Saya hargai semua kerja keras semua parti komponen termasuk PKR, DAP dan Bersatu yang bersama-sama memastikan kemenangan paling bermakna di Permatang Pasir,” katanya.

Permatang Pasir yang sebelum ini kubu kuat Pas beralih tangan kepada PKR apabila Faiz berjaya meraih undi 9,708 menewaskan calon Pas yang juga Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff (6,727) dan calon BN, Anuar Faisal Yahaya (4,979).

Ditanya mengenai peranannya selepas ini, Faiz berkata, beliau akan menunaikan janjinya kepada masyarakat Permatang Pasir sebelum ini dan akan memberi tumpuan kepada peralihan kuasa di Putrajaya.

Faiz FadzilBukit Mertajam PKR
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Berita Popular

Video Popular