BAGAN SERAI - Kejayaan BN Parlimen Bagan Serai menambah kemenangan di satu kerusi Dun iaitu Selinsing pada pilihan raya kali ini adalah bukti kerja keras jentera parti sejak lima tahun lalu.
Ketua Umno Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, pada PRU12, hanya Dun Alor Pongsu dimenangi calon BN sebelum berjaya merampas kerusi Parlimen Bagan Serai pada PRU13.
“Kali ini kita dapat pula Dun Selinsing, meskipun ketiga-tiga kerusi dimenangi dengan majoriti kecil, ianya sebahagian dengan proses demokrasi dan kami masih berpuas hati mampu memperbaiki prestasi berbanding keputusan PRU13. Saya yakin dengan kerja kuat dan sokongan semua pihak, kita akan mampu menang 4-0 pada PRU15 kelak,” katanya.
Meskipun berhadapan dengan tsunami rakyat yang menolak kepimpinan kerajaan BN, Sham berjaya mempertahankan kerusi Dun Alor Pongsu untuk penggal keempat.
Beliau berkata, BN Parlimen Bagan Serai akan terus bekerja lebih kuat dan berusaha memberi perkhidmatan lebih baik untuk tempoh lima tahun akan datang.
Menurutnya, fasa seterusnya adalah untuk memenuhi janji manifesto pilihan raya yang ditaburkan kepada rakyat sebelum demi meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Pada PRU14 ini, BN menang di kerusi Parlimen Bagan Serai, Dun Alor Pongsu dan Selinsing, sementara Gunong Semanggol dimenangi calon Pas.
Adun Selinsing, Mohamad Noor Dawoo berkata, inisiatif untuk mengambil alih kerusi disandang Pas bukan satu perkara mudah, namun kerja keras jentera pilihan raya BN memenangi hati rakyat berjaya merealisasikannya.
“Saya yakin gandingan tiga orang mampu memberi perubahan kepada Parlimen Bagan Serai dan melaksanakan pembangunan didahagakan rakyat di sini,” katanya.