Harapan bimbang calon 'dibeli' saat akhir

BAGAN SERAI - Keterdesakan BN hendak mengekalkan kerajaan persekutuan selepas PRU14 menyebabkan kemungkinan ada calon dari PKR-Harapan yang mungkin 'dibeli' pada saat akhir.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, kebimbangan itu dirasakan Harapan apabila pakatan pembangkang itu hanya mampu mencatat kemenangan tipis sekitar 112 kerusi sahaja berbanding BN pada 9 Mei nanti.

Menurutnya, kali ini, pihaknya mendakwa BN mungkin bukan sahaja akan 'membeli' sedikit-sedikit, malah sanggup membayar apa sahaja nilai wang ringgit demi mengekalkan penguasaan parti itu di Putrajaya.

"Dalam saat Harapan semakin menghampiri kemenangan, saya minta sangat-sangat wakil rakyat PKR-Harapan jangan 'dibeli' saat akhir.

"Saya bimbang kalau setakat menang 112 kerusi (Parlimen), kalau (ada calon PKR-Harapan) ditawarkan sejuta ringgit pun berat, apatah lagi (nilai) RM30 juta.

"Kali ini mungkin BN akan 'beli' bukan sedikit-sedikit, jadi kita kena menang lebih 130 kerusi Parlimen untuk mengelakkan kemungkinan senario itu berlaku," katanya kepada lebih 200 penyokong PKR-Harapan sewaktu menyampaikan ucapan di sini hari ini.

Turut hadir Calon PKR-Harapan Parlimen Bagan Serai, Adam Asmuni, Calon PKR-Harapan Dun Alor Pongsu, Ahmad Zaki Hussin, Ahmad Saqqif Ansorullah (Dun Selinsing) dan Ismail Ali (Dun Gunung Semanggol).

Mohamad yang juga calon PKR-Harapan Parlimen Kota Raja turut mendakwa sekurang-kurangnya tiga negeri di Semenanjung Malaysia sudah hampir pasti dimenangi Harapan iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pada hari ketujuh kempen PRU14.

Menurutnya, berdasarkan senario semasa, negeri Perak juga dijangka bakal mengikuti jejak langkah tiga negeri itu, terutama di kawasan Perak Utara, melibatkan Parlimen Bagan Serai, Parit Buntar, Bukit Gantang, Taiping dan Larut.

"Jika kita lihat, pengundi Cina memang awal-awal tolak BN, orang India sendiri adakan kempen 'zero vote' untuk BN.

"Kerusi Parlimen Bukit Gantang pun calon Pas menang sebab sokongan padu pengundi Cina di Dun Kuala Sepetang.

"Kalau jam 12 tengah malam, tiada berita pengumuman keputusan PRU14, bermakna kerajaan Harapan menang dan kita doakan supaya impian seluruh rakyat Malaysia tercapai pada 9 Mei ini," katanya.

Mohamad SabuBagan Serai PKR
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :