Azmin angkat sumpah MB esok

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani melalui satu kenyataan kepada media sebentar tadi.

Melalui kenyataan itu, beliau berkata, Mohamed Azmin telah menyembah maklum kepada baginda bahawa beliau telah mendapat sokongan daripada Adun-Adun Selangor bagi Pakatan Harapan untuk dilantik sebagai menteri besar.

"Sultan Sharafuddin juga berkenaan agar pentadbiran kerajaan negeri dibentuk secepat mungkin selepas mendapat mandat daripada rakyat demi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri dan harmoni serta kesejahteraan rakyat.

"Istiadat pelantikan dan angkat sumpah menteri besar akan diadakan esok, selepas solat Jumaat jam 3 petang di Istana Alam Shah, Klang," katanya.

Terdahulu, Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin dilihat memasuki Istana Bukit Kayangan sekitar jam 11.50 pagi tadi bagi menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau dilihat keluar meninggalkan istana berkenaan sekitar jam 1.20 petang.

Timbalan Presiden PKR itu berjaya mengekalkan kemenangannya di

Dun Bukit Antarabangsa dengan memperolehi 30,892 undi dan kerusi Parlimen Gombak dengan meraih 75,113 undi.

Mohamed Azmin AliShah Alam PKR
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :