Tsunami Malaysia landa negara

SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan kejayaan dikecapi Pakatan Harapan (Harapan)  adalah kemenangan rakyat yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Menurutnya, sejarah  dicipta, rakyat Selangor dan negara ini sudah bersuara dengan jelas dan lantang.

"Hari ini, kita merayakan kuasa demokrasi, kuasa rakyat.

Rakyat Selangor dan Malaysia telah bersuara dengan jelas dan lantang tamatkan Umno-BN untuk Harapan. Ini bukan tsunami Melayu,  Cina dan  India, ini adalah 100 peratus tsunami Malaysia! Satu tsunami yang melanda seluruh negara untuk kerusi negeri dan kerusi Parlimen," katanya.

Mohamed Azmin berkata,  Selangor menyaksikan majoriti besar memihak Harapan, menang 51 daripada 56 kerusi di negeri iaitu sebanyak 91 peratus. 

Ia katanya, adalah  keputusan cemerlang melangkaui jangkaan iaitu hanya menang 40 kerusi. 

"Saya terharu dengan sokongan ditunjukkan rakyat terhadap prinsip dan dasar kita. Rakyat Malaysia  memilih demokrasi berperlembagaan daripada kleptokrasi. 

"Rakyat memilih kedaulatan undang-undang berbanding kehendak sekumpulan  orang. Dan rakyat memilih keadilan berbanding ketidakadilan.

"Rakyat mahukan masa depan baharu, untuk mereka, anak-anak mereka dan generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, rakyat kini meletakkan kepercayaan kepada Harapan, satu amanah yang murni namun berat dipikul.

Tambah beliau, Harapan perlu bekerja keras untuk menunaikan ikrar dan  merealisasikannya. 

"Hari ini menandakan harapan baru untuk bangsa dan rakyat Malaysia boleh memandang ke depan bagi memulakan bab baru demi negara.

"Kita dalam Pakatan Harapan tidak mampu melakukannya tanpa sokongan anda.Terima kasih, rakyat Selangor. Terima kasih, rakyat Malaysia," katanya lagi.

Mohamed Azmin Ali
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :