BN tetap sedia hadapi cabaran politik: Ahmad Zahid

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) tetap bersedia menghadapi cabaran politik meskipun ada pihak lain yang berusaha bergabung untuk menjatuhkan parti tersebut.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, ada pihak yang sebelum ini bermusuhan dan berbeza ideologi bergabung menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semata-mata hendak menjatuhkan BN.

“Tidak mengapa mereka mahu bergabung berapa banyak parti sekali pun kerana BN tetap ‘steady’ dan ‘ready’ untuk berdepan cabaran politik.

“Mereka yang bermusuhan dan berbeza ideologi itu mahu bergabung menyertai PRN Johor semata-mata demi melawan BN.

“Tentunya mereka tidak kisah apa nasib dan keadaan caca marba negeri Johor selepas itu kerana tujuan mereka hanya mahu menyekat kebangkitan BN,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook milik beliau pada Ahad.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bagaimanapun berkata, BN tetap dengan pendiriannya iaitu menyertai pilihan raya untuk membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil dan makmur buat rakyat Johor.

Beliau berkata, sekiranya berlaku bersekongkol antara pihak terbabit, ia bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana 96 peratus berasal daripada kluster yang sama iaitu memfitnah, menghasut dan memperdayakan rakyat demi merebut kuasa semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Tiga peratus daripada kluster katak dan satu peratus lagi kelompok yang masih keliru tentang agenda perjuangan politik mereka akibat pengaruh rakan baru.

“Pastinya rakyat Johor juga dapat menilai maknawi (jajaran baharu) berhipokrasi tahap tertinggi sanggup diusahakan mereka demi menghalang BN dan merebut kuasa.

“Ini bermaksud mereka tidak pernah pun jujur dan ikhlas untuk mentadbir Johor dengan baik kerana bagi mereka kuasa lebih utama berbanding tanggungjawab,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berharap rakyat Johor tidak mudah terpedaya, malah bersatu-padu mengembalikan kerajaan dominan iaitu BN bagi memastikan sebuah kemajuan dan kesejahteraan yang mutlak.