Harapan Kelantan umum calon seminggu lagi

PASIR PUTEH - "Pakatan Harapan Kelantan dijangka mengumumkan calon PRU14 dalam tempoh seminggu lagi," kata Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Mohd Nor.

Beliau berkata, pada dasarnya pengagihan kerusi dan senarai calon sudah dipersetujui semua parti komponen dalam Harapan, hanya tunggu masa sesuai untuk mengumumkannya.

“Senarai calon juga sudah muktamad, tidak ada masalah berbangkit seperti rasa tidak puas hati kepada calon yang dipilih.

“Setiap parti komponen memastikan calon yang terpilih mampu meraih kemenangan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, gerak kerja kerja kempen sudah bermula di mana jawatankuasa di setiap Dun sedang mengatur jadual aktiviti berkaitan termasuk siri ceramah.

Beliau berkata, kesanggupan semua parti komponen untuk menggunakan simbol PKR menggambarkan persefahaman baik yang wujud dalam Harapan.

“Agenda membubarkan sementara Bersatu difahami seluruh rakyat yang mengenal politik, sangat jelas BN berasa terancam dengan kebangkitan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Bagaimanapun perkara ini tetap ada hikmahnya apabila semua parti komponen bersepakat untuk menggunakan simbol PKR.

“Kita terima keadaan ini, lagipun PKR sudah 20 tahun bertapak. Simbolnya lebih dikenali berbanding simbol Bersatu itu sendiri apatah lagi parti itu pernah diterajui tokoh besar politik negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jadi tidak ada masalah kepada kita sebenarnya,” katanya.

Pasir Puteh
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Berita Popular

Video Popular