TEMERLOH - Parlimen Temerloh (P88) dijangka menyaksikan persaingan lima penjuru pada PRU14 ini apabila seorang lagi mengumumkan hasrat untuk bertanding atas tiket Bebas.
Bekas Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Abu Jamal Nordin, 62, mengesahkan hasrat bertanding atas tiket Bebas kepada Sinar Harian di sini, hari ini,
Menurutnya, beliau memberanikan diri untuk bertanding kerana melihat aspek pembangunan yang perlahan di Parlimen berkenaan walaupun ia adalah bandar kedua terbesar di negeri ini.
“Keadaan pengundi sedang berbelah bahagi tak tahu nak sokong mana kerana parlimen itu sudah bertukar beberapa kali antara BN dan Pas sebelum ini,’
“Dulu saya berkhidmat dengan kerajaan dan telah bersara selama dua tahun. Saya tiada parti politik dan sebab itu memilih bertanding atas tiket Bebas," kata anak jati Pahang yang berasal dari Kampung Penak, Mentakab itu.
Beliau yang juga bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang itu turut menegaskan tidak gentar untuk bersaing kerana percaya keputusan ditentukan oleh pengundi dengan bijak.
Sebelum ini, Amanah mengesahkan Setiausaha Agong Amanah, Anuar Tahir, 65, bertanding di kerusi berkenaan.
Manakala Pas pula dijadualkan akan mengumumkan calon mereka malam esok dan calon BN masih menjadi teka-teki.
Bekas Ketua Pengarang Berita TV3, Khaidir Ahmad, 56, pula mengumumkan keputusannya untuk bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen tersebut.
Sekiranya Abu Jamal dan Khaidir menghantar borang penamaan calon pada 28 April ini, Parlimen tersebut menjadi antara pertandingan sengit lima penjuru iaitu BN, Pas, Amanah serta dua calon dari Bebas.