Kemenangan GPS atas dasar kepercayaan rakyat

KUCHING - Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan kemenangan parti itu membentuk kerajaan negeri adalah atas dasar kepercayaan rakyat kepada mereka.

Beliau berkata, berdasarkan komitmen GPS yang menumpukan perhatian terhadap kesinambungan pembangunan di luar bandar termasuk di bandar menyebabkan parti itu sekali lagi berjaya menambat hati pengundi di Sarawak.

"Malah, GPS turut mengutamakan pelbagai sektor seperti industri, Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), teknologi terkini dan sebagainya secara menyeluruh," katanya ketika ditemui pemberita setelah Majlis Mendengar Keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) di sini, Sabtu malam.

Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit menambah, kemenangan GPS merupakan pencapaian cemerlang berdasarkan semangat perjuangan bersama antara parti komponen yang diterajui Presiden GPS merangkap Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Dalam pada itu katanya, meskipun GPS diasak dengan fitnah dan tuduhan yang tidak berasas daripada parti pembangkang, beliau percaya rakyat Sarawak tidak mudah termakan hasutan yang dilemparkan.

"Rakyat sudah muak dengan taktik-taktik lapuk yang sering 'dimainkan' oleh mereka (pihak pembangkang). Rakyat hanya inginkan kerajaan yang mampu melakukan yang terbaik demi pembangunan selain memperjuangkan kepentingan rakyat di Sarawak.

"Disebabkan itu, saya percaya GPS berjaya menambat hati rakyat Sarawak kerana kita sentiasa mengutamakan negeri dan menjaga kebajikan rakyat," katanya.

Mengulas lanjut jelas Alexander, melihat kepada kerusi-kerusi yang dimenangi parti pembangkang jelas menunjukkan kredabiliti mereka telah rapuh sekali gus tidak mendapat kepercayaan rakyat untuk mentadbir negeri ini.

"Parti Sarawak Bersatu (PSB) misalnya bertanding di 72 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), bagaimanapun mereka tidak mampu memenangi sehingga 10 kerusi (DUN) sekali pun.

"Ia jelas menunjukkan rakyat inginkan keutamaan diberikan terhadap isu-isu yang penting seperti pembangunan dan bukannya fitnah dan janji-janji yang ditaburkan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kemenangan besar GPS kemenangan rakyat Sarawak: Abang Johari

GPS menang majoriti mudah, bentuk kerajaan negeri: SPR