SABAK BERNAM - Calon Pas P093 Parlimen Sungai Besar, Mohamad Salleh M. Husin hadir di pusat pembuangan undi, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Utama, di sini, bagi meninjau proses pengundian di sekolah itu.
Mohamed Salleh atau lebih dikenali sebagai Cikgu Salleh ditemani beberapa petugas Pas tiba kira-kira jam 9.15 pagi tadi.
Menurutnya, pusat mengundi itu menjadi lokasi pertama disinggahi beliau dan akan meninjau kesemua 30 lokasi pembuangan undi di Parlimen itu.
"Saya akan hadir ke semua pusat pengundian iaitu sebanyak 19 pusat mengundi di Dun Sungai Panjang dan 11 di Dun Sekinchan," katanya.
Beliau berkata, hasil pemerhatian awal sehingga jam 9.30 pagi, mendapati proses demokrasi berjalan lancar tanpa berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Saya lihat ramai turun awal untuk mengundi hinggakan mereka sudah menunggu di pusat mengundi sebelum pintu pagar dibuka.
"Cuaca juga baik dan harapnya semua pengundi di sini akan keluar mengundi," katanya.
Ditanya tentang peluang beliau yang berdepan saingan tiga penjuru bagi kerusi Parlimen itu, Cikgu Salleh berkata, beliau tetap optimis Pas mampu meraih sokongan rakyat berdasarkan faktor tertentu.
"Kita tengok pihak lawan itu juga rakan tetapi berbeza parti. Kami harap boleh mencelah di tengah mereka," katanya.
Terdahulu, Cikgu Salleh membuang undi kira-kira jam 8. 30 pagi di Sekolah Kebangsaan (SK) Doktor Abdul Latiff, Pekan Sabak.