PRN Sarawak: GPS beri peluang calon wanita wakili DUN Lingga

KUCHING - Penglibatan wanita dalam politik terus diberi kepercayaan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam meneruskan kelangsungan pembangunan di negeri ini.

Di Lingga, pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) ia akan diwakili calon wanita yang juga muka baharu iaitu Dayang Noorazah Awang Sohor.

Anak jati Sri Aman berusia 33 tahun itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari University Swinburne Sarawak.

“Saya berterima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi GPS kerana memberikan peluang kepada golongan belia seperti saya untuk menjadi pemimpin di DUN Lingga.

“Alhamdulillah setakat ini respons sangat baik, mereka masih dahagakan kepimpinan wanita di GPS, tidak kisah di DUN mana sekalipun, mereka masih dahagakan kepimpinan mereka (wanita) di Sarawak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan watikah pelantikan calon GPS di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako di sini pada Jumaat.

Noorazah ketika ditemui berkata, beliau mahukan nasib rakyat di Lingga terus dibela terutama golongan wanita dalam mengangkat penglibatan mereka untuk meningkatkan sumber pendapatan.

"Malah pendidikan juga diambil kira yang menjadi salah satu aspek penting untuk dimartabatkan di kawasan tersebut.

“Saya akan cuba membawa pendekatan yang baharu terutama dari segi pendidikan termasuk golongan umur 21 ke atas kerana kita semua tahu rata-rata mereka tidak dapat melanjutkan pelajaran lagi disebabkan kekangan kawangan.

"Itulah perkara pertama yang akan saya lakukan untuk golongan belia 29 ke 39 tahun... rata-rata mereka hilang pekerjaan... itulah kita harus lakukan dahulu,” katanya.

DUN Lingga sebelum ini disandang oleh Datuk Simoi Peri selama tiga penggal sejak 2006. - Awani